Tangguh dulu hasrat nak jadi PM, kata Pemuda Umno kepada Anwar

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi pendirian untuk semua ahli politik melakukan gencatan politik.

PETALING JAYA: Pemuda Umno menyarankan Presiden PKR Anwar Ibrahim menangguhkan dahulu hasrat untuk menjadi perdana menteri berikutan negara sedang menghadapi penularan wabak Covid-19.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan adakah Anwar sudah terhakis rasa belas dan simpati terhadap keresahan serta kepayahan rakyat semua peringkat ketika ini.

“Saban hari memerah keringat bahkan berat memikirkan juadah atas meja, sama ada masih mampu terhidang untuk keluarga,” katanya di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, pemuda Umno mengulangi pendirian untuk semua ahli politik melakukan gencatan politik.

“Tatkala rakyat resah dan gelisah inilah, sewajarnya untuk ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengenepikan perbezaan dan persengketean demi agenda membantu rakyat,” katanya.

Hari ini, Anwar mengumumkan akan menghadap Agong pada Selasa depan.

Anwar berharap rakyat terus bertenang dan mendoakan segala urusannya dipermudahkan serta meminta rakyat terus menghormati perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Pada 23 September lalu, beliau mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan diterima, sebaliknya hanya memaklumkan jumlah itu akan didedahkan selepas menghadap Agong.