100% pelajar sesi pagi SK Bangsar tak hadir selepas 2 murid positif Covid-19, kata laporan

YDP PIBG, Mohd Yazid Mohd Yasin, berkata, pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar hari ini melaporkan 100% atau hampir 800 murid pada sesi pagi persekolahan tidak hadir.

PETALING JAYA: Ibu bapa murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar tidak menghantar anak ke sesi pagi persekolahan, ekoran bimbang dengan jangkitan Covid-19 selepas 2 murid dilaporkan positif, kata laporan Berita Harian.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Yazid Mohd Yasin, berkata, pihak pentadbiran sekolah hari ini melaporkan 100% atau hampir 800 murid pada sesi pagi persekolahan tidak hadir ke sekolah.

Menurut Yazid, hanya kakitangan pentadbiran dan guru sahaja yang hadir ke sekolah. Tambahnya, guru juga turut diwajibkan untuk menjalani ujian calitan sejak semalam.

“Semalam Kementerian Kesihatan sudah menjalankan ujian calitan pada pada murid dan guru yang hadir. Hari ini, petugas kesihatan akan menjalankan lagi ujian saringan di kawasan yang dimaklumkan.

“Semua murid dan ibu bapa yang perlu menjalani ujian saringan ini sudah dimaklumkan dan dijangka mungkin lebih ramai akan melakukan ujian, memandangkan 2 murid positif Covid-19 itu menjalani latihan persembahan beramai-ramai,” katanya menurut laporan itu.

Terdahulu, 2 murid perempuan SK Bangsar disahkan positif Covid-19. Sehingga kini belum ada sebarang pengumuman mengenai penutupan sekolah itu.

Murid tahun 4 dan 5 itu dipercayai dijangkiti daripada ahli keluarga mereka, selepas pulang menghadiri kenduri baru-baru ini.

Sebelum ini, seorang guru dari SMK Taman Sea diuji positif Covid-19. Pelajar dan kakitangan sekolah diperintahkan menjalani kuarantin.

SMK Mutiara di Labuan diarah tutup sementara untuk proses sanitasi selepas seorang pelajar disahkan positif hari ini.