Exco Pahang bagi 3 cadangan cuti perkasa sektor pelancongan

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Mohd Sharkar Shamsudin berkata cadangan cuti itu bertujuan merancancakkan pelancongan domestik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin kerajaan Pahang membuat 3 cadangan cuti yang boleh diambil pekerja bagi memastikan sektor ekonomi negara tidak lumpuh susulan penularan Covid-19.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, cadangan cuti itu bertujuan merancancakkan pelancongan domestik.

Katanya, antara cadangan diusulkan, mewujudkan 4 giliran waktu kerja.

“Dengan cara ini, akan ada 4 kumpulan yang bekerja dan dalam 1 minggu, 1 kumpulan boleh mengambil cuti pada Jumaat jika mereka bercuti Sabtu dan Ahad dan bagi yang bercuti Jumaat dan Sabtu, mereka boleh ambil cuti Ahad.

“Ini boleh dilakukan bergilir setiap minggu bagi kumpulan kerja yang berbeza, dengan cara ini setiap kumpulan kerja dapat bercuti selama 3 hari untuk melancong ke destinasi menarik dalam negara,” katanya memaklumakn jika setiap minggu rakyat bercuti ia pasti akan merancakkan sektor pelancongan negara.

Sharkar turut mencadangkan sistem cuti hujung minggu diubah bagi membolehkan aktiviti pelancongan domestik tidak hanya tertumpu pada hari minggu sahaja sebaliknya hari lain rakyat boleh melancong dengan adanya sistem penggiliran kerja.

“Negara mempunyai kira-kira 15 juta pekerja, saya ambil contoh jika 500,000 orang bercuti setiap hari, tentunya ia dapat merancakkan sektor pelancongan domestik sekali gus majukan pelancongan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Cadangan ke-3 ialah cuti sekolah juga tidak perlu diadakan serentak di mana kerajaaan perlu mengubah sistem musim cuti.

“Sebagai contoh, setiap kali musim cuti sekolah hanya 3 atau 4 negeri yang bercuti. Ini penting bagi memastikan tidak berlaku limpahan pelancong sekali gus menyebabkan kesesakkan kerana mereka bercuti pada masa sama,” katanya.

Katanya, 3 cadangan itu perlu dilaksanakan ketika ini bagi memastikan sektor ekonomi kekal rancak berikutan penularan Covid-19.

“Jika tidak, aktiviti pelancongan domestik hanya akan tertumpu pada cuti hujung minggu atau hari tertentu sahaja dan lebih parah lagi menyebabkan kesesakan melampau sebagai contoh di Cameron Highlands, Kuala Gandah, jika pada cuti hujung minggu kesesakannya tidak boleh diatasi,” katanya.

Beliau membuat cadangan itu dengan mengambil kira pemulihan ekonomi akan memakan masa panjang, malah ada pihak berpendapat sektor pelancongan mungkin mengambil masa sehingga 2 ke 3 tahun untuk kembali ke tahap normal selepas pandemik Covid-19 berakhir.