Isu air: NGO hantar memorandum, desak potong gaji MB Selangor RM10

Setiausaha Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail berkata penduduk Selangor sudah letih berdepan masalah gangguan air yang tiada kesudahan.

PETALING JAYA: Kumpulan NGO akan menghantar memorandum kepada kerajaan Selangor dalam masa terdekat termasuk mendesak gaji menteri besar Amirudin Shari dipotong RM10 kerana gagal menyelesaikan isu air di negeri itu.

Mereka turut mendesak kerajaan negeri mengambil langkah drastik dan jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Setiausaha Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail berkata, penduduk Selangor sudah letih berdepan masalah gangguan air yang tiada kesudahan.

“Rakyat sudah letih menunggu lori tangki di tepi jalan dan mengangkut baldi ke rumah masing-masing setiap kali loji air berhenti operasi.

“Satu tindakan drastik harus diambil segera dan seseorang harus dipertanggungjawabkan. Otai juga menggesa CEO Air Selangor ditukar segera kerana tidak mengambil tindakan proaktif untuk memastikan isu gangguan air ini tidak kerap berlaku,” katanya kepada FMT.

Beliau memaklumkan memorandum itu sepatutnya diserah semalam sebaliknya ditangguh kerana peningkatan jangkitan Covid-19.

Razak turut mendesak supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) mengadakan pendengaran awam bagi menjelaskan isu air di negeri itu termasuk mendedahkan kegagalan dan kecuaian syarikat Air Selangor menyediakan bekalan yang konsisten kepada rakyat.

“Tindakan pemberhentian kerja di loji rawatan air menyebabkan ribuan warga Selangor sengsara tanpa bekalan air.

“Otai berpandangan Air Selangor cuai ‘menjaga sungai’ yang mengalir ke loji rawatan air supaya bebas sebarang bahan kimia yang mencemarkan air sungai tersebut kerana air sungai itu merupakan ‘aset paling penting’ kepada Air Selangor untuk membekalkan air bersih terawat kepada warga Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu air dalam tempoh jangka panjang, apabila tidak kurang 13 kes gangguan air berlaku dalam tempoh 9 bulan pertama tahun ini seperti dilapor media.

“Warga Selangor juga terkejut bila diaporkan berlaku 744 kes penutupan operasi loji rawatan air dari 2008 hingga hari ini,” katanya.