Kompleks Sukan Sandakan jadi pusat rawatan Covid-19

Pesakit Covid-19 yang stabil akan ditempatkan di Kompleks Sukan Sandakan yang dijadikan pusat rawatan.

SANDAKAN: Kompleks Sukan Sandakan akan dijadikan pusat rawatan Covid-19 bagi pesakit Covid-19 yang stabil, kata Pengarah Hospital Duchness of Kent (HDOF) Dr Francis Paul hari ini.

Beliau berkata, persediaan untuk menjadikan dewan serba guna kompleks itu sebagai wad dengan menempatkan 200 katil bermula hari ini dan dijangka beroperasi minggu depan.

“Kompleks Sukan Sandakan menjadi alternatif untuk menampung pesakit Covid-19 berikutan peningkatan drastik kes positif Covid-19 di Sandakan.

“Peningkatan jumlah itu boleh membawa kepada lebihan kapasiti di HDOK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Francis mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sandakan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sandakan dan Lembaga Sukan Sabah kerana membenarkan penggunaan kompleks sukan itu sebagai pusat alternatif rawatan.

“HDOK juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Sosial Sandakan kerana meminjamkan skrin penghadang untuk kegunaan di pusat rawatan (alternatif),” katanya.

Berikutan peningkatan drastik kes Covid-19 di Sandakan, beliau berkata HDOK menasihatkan penduduk Sandakan untuk meneruskan semua langkah berjaga-jaga dan mematuhi tatacara operasi standard bagi mencegah penularan virus itu.

Bermula hari ini, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkuat kuasa selama 14 hari hingga 22 Oktober di Sandakan selepas daerah itu merekodkan peningkatan jumlah kes positif.

Sandakan diisytihar zon merah sejak 6 Oktober hanya 7 hari selepas daerah itu bertukar dari zon hijau ke zon kuning.

Setakat semalam, Sandakan mempunyai 152 kes aktif.