Majlis kahwin di kawasan PKPB boleh diteruskan, kata Ismail

Majlis perkahwinan boleh diteruskan di kawasan dikenakan PKPB dengan syarat patuh SOP ditetapkan.

PETALING JAYA: Kerajaan membenarkan majlis perkahwinan diteruskan di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dirancang dari awal itu dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan.

“Sidang khas turut mengambil maklum mengenai majlis perkahwinan yang telah dirancang di kawasan PKPB, sidang bersetuju membenarkan majlis perkahwinan diteruskan dengan menepati setiap SOP yang diperkenalkan dan penambahan syarat baharu.

“Bagi penganjuran majlis perkahwinan di kampung atau taman perumahan ia perlu dilakukan dengan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan jika diadakan di hotel ia perlu dengan pengawasan pihak pengurusan hotel.

“Bagi penganjuran majlis yang kurang 100 jemputan 2 anggota Rela, 100 hingga 300 jemputan 3 anggota Rela, 300 hingga 500 jemputan 4 anggota Rela, dan bagi yang melebihi 500 jemputan akan ditetapkan oleh Rela mengikut jumlah kehadiran dan ruang kawasan majlis,” katanya pada siang media hari ini.

Katanya, bagi jemputan dari luar kawasan PKPB mereka perlu menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan ketika melalui sekatan jalan raya yang
diadakan.

Sementara itu, Ismail memaklumkan memasuki hari ke-121 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), seramai 381 individu ditahan kerana ingkar arahan termasuk tidak memakai pelitup muka semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 370 individu dikompaun, 9 direman dan 2 dijamin,” katanya.