Parti Anifah tak tanding Batu Sapi

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) membuat keputusan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata Setiausaha Agung Ansari Abdullah.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan nyawa dan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata Sabah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk menanggung penularan kes baharu Covid-19 jika proses kempen dan pengundian PRK Parlimen Batu Sapi dilaksanakan.

“Kami berdoa supaya Sabah dan rakyatnya dilindungi daripada gejala virus COVID-19… pada kami, nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik.

“Sabah sedang dilanda jangkitan Covid-19 yang amat teruk dan jelas SOP yang dikeluarkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 baru-baru ini gagal membendung penularan virus itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilapor akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya, Liew Vui Kong, pada 2 Okt lepas.

Menurut SPR, pelaksanaan PRK itu selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa, 13 Okt ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, berkata BN tidak akan bertanding pada PRK Parlimen Batu Sapi bagi mengelak penularan pendemik itu di negara ini khususnya di Sabah.