PKPD penjara Pokok Sena 11 Okt

Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di penjara Pokok Sena, Alor Setar, susulan peningkatan kes Covid-19.

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di penjara Pokok Sena, Alor Setar, selama 14 hari susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk membabitkan kakitangan penjara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu membabitkan seluruh kawasan penjara dan kuarters bermula 11 Oktober hingga 24 Oktober ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan peningkatan kes di penjara Pokok Sena.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan persetujuan kerajaan negeri bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan penjara termasuk kawasan kuarters kakitangan penjara selama 14 hari bermula 12.01 tengah malam 11 Oktober hingga 24 Oktober,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, jumlah penghuni terlibat seramai 3,262 tahanan dan 587 kakitangan.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh ini juga, sebarang pergerakan keluar masuk termasuk lawatan keluarga tahanan tidak dibenarkan,” katanya.