PRK Batu Sapi boleh ditangguh jika Putrajaya isytihar darurat, kata SPR

PETALING JAYA: Pilihan raya kecil hanya boleh ditangguhkan sekiranya Putrajaya mengisytiharkan darurat di sesuatu kawasan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh.

Ghani berkata, sekiranya tidak diisytiharkan sebagai darurat, maka PRK perlu dijalankan seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat menghantar surat meminta SPR mengisi kekosongan tersebut, maka suruhanjaya perlu melaksanakan PRK seperti tertera dalam Perlembagaan.

“Jadi dalam tempoh 60 hari SPR kena ambil tindakan untuk isi kekosongan itu kecuali jika kerajaan isytihar kawasan Batu Sapi ini kawasan merah, keadaan wabak begitu dahsyat dan tidak dapat dikawal serta darurat.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

“Barulah PRK ini boleh dipertimbangkan untuk ditangguhkan. Jika semua kriteria itu ada, SPR akan akur,” katanya, memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Ghani mengulas bantahan beberapa pihak yang tidak bersetuju sekiranya PRK Batu Sapi diadakan, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak selepas pelaksanaan pilihan raya negeri Sabah.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, mengemukakan pemberitahuan kepada pengerusi SPR memaklumkan kekosongan Parlimen Batu Sapi, ekoran kematian penyandangnya, Liew Vui Keong dari Warisan, pada 2 Okt.

Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR ada kekosongan.

Ketika ditanya mengenai cadangan supaya PRK Batu Sapi dilaksanakan secara dalam talian, Abdul Ghani berkata kaedah berkenaan akan mengambil masa panjang kerana ia turut melibatkan perundangan sedia ada negara.

“Apabila sesuatu sistem hendak dibuat, ia perlu digazetkan, kena dapat kelulusan akta dan melalui proses undang-undang terlebih dahulu. Namun kaedah yang terbaik adalah membuat PRK secara fizikal,” katanya.

Liew menawan Batu Sapi pada pilihan raya umum 2018 dalam pertandingan 4 penjuru, dengan majoriti 4,619 undi untuk menewaskan pencabar dari BN, Amanah, dan PAS.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu meninggal dunia di usia 60 tahun, ketika sedang dirawat di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.