KEMASKINI: 374 jangkitan Covid-19, Sabah kekal tertinggi

PETALING JAYA: Sebanyak 374 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan Sabah melaporkan angka tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 372 kes penularan dalam negara melibatkan 343 orang tempatan dan 2 kes import.

Sabah terus melaporkan kes tertinggi hari ini dengan 277 kes, diikuti Selangor 44 kes, dan Kedah 27 kes.

“17 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 341 kes,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagi negeri lain, Sarawak melaporkan 9 kes, Kuala Lumpur 6 kes, dan Pulau Pinang 3 kes. Johor, Perak, dan Labuan masing-masing 2 kes, diikuti Melaka dan Putrajaya masing-masing 1 kes.

Ketika ini, seramai 4,161 orang sedang dirawat di hospital. Sebanyak 73 daripada pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 28 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini, 73 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Turut dilaporkan 3 kematian.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 15,096 kes dengan 10,780 daripadanya sembuh.

Pasukan bantuan ke Sabah

Sementara itu, Hisham mengumumkan pasukan bantuan digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu di Sabah bagi membantu usaha menangani penularan Covid-19.

Mobilisasi ini dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes, katanya.

“Sehingga 8 Okt, 249 orang anggota perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam digerakkan secara dalaman negeri Sabah. Sehingga tarikh yang sama juga, sejumlah 130 orang anggota perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam digerakkan dari lain-lain negeri ke negeri Sabah.

“Ini menjadikan secara keseluruhannya setakat ini 475 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu,” katanya.