Belanjawan 2021 bakal fokus penciptaan pekerjaan rakyat, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamal Othman berkata defisit belanjawan akan bertambah daripada 5.5% kepada 6%.

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang tidak akan mempunyai banyak perbezaan dengan belanjawan terdahulu, akan disuntik dengan inisiatif yang sama dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Belanjawan negara juga masih akan didasari oleh aspek-aspek termasuklah pekerjaan dan pendapatan rakyat,” kata ahli ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamal Othman dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Beliau berkata tumpuan kerajaan tidak akan secara langsung kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Dengan penularan pandemik Covid-19, saya fikir isu pertumbuhan ekonomi bukan sesuatu yang menjadi keutamaan tetapi yang paling penting ialah melindungi keupayaan kita untuk meneruskan kehidupan yang amat berkaitan dengan pendapatan,” katanya.

Jamal mengunjurkan defisit belanjawan akan bertambah daripada 5.5% kepada 6%, sesuatu yang bukan luar biasa berikutan situasi ekonomi global yang mencabar pada tahun ini berikutan Covid-19.

Katanya ekonomi negara yang terbuka lebih teruk terjejas dan ini dapat dilihat dari segi penurunan jumlah eksport negara, menyebabkannya terpaksa bergantung kepada penggunaan domestik.

Beliau berkata, malangnya, ia turut terjejas apabila rakyat kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar pengangguran semakin berkurangan membuktikan pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA yang menggerakkan semula ekonomi negara menunjukkan hasil positif.

Kadar pengangguran turun kepada 4.7% pada Julai, selepas berada pada paras 4.9% pada bulan sebelumnya.

Setakat 25 September, kerajaan telah menyalur dan membuat pembayaran berjumlah RM122.7 bilion di bawah pakej PRIHATIN.