Pakar beri amaran kes Covid-19 naik akan beri kesan pada kesihatan mental

Menurut Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), terdapat peningkatan sebanyak 2 kali ganda permohonan kaunseling, kebanyakannya mempunyai masalah berkaitan stres. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar kesihatan mental menyeru pegawai perubatan mempertimbangkan kesejahteraan psikologi pesakit mereka, memberi amaran tekanan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal.

Bercakap kepada FMT sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr Andrew Mohanraj, berkata terdapat banyak permintaan menyeru pekerja kesihatan mempertimbangkan kesihatan mental pesakit ketika merawat gejala fizikal.

Jelas Mohanraj, hormon kortikosteroid, yang dirembes ketika tertekan, dapat menekan keberkesanan sistem imun.

“Bila kita tertekan, kemampuan sistem imun tubuh untuk melawan antigen akan berkurang. Ini sebabnya mengapa kita mudah terkena jangkitan,” katanya. “Stres mendorong pengaktifan imun kronik yang dilihat pada penyakit radang kronik seperti rheumatoid arthritis.”

Andrew Mohanraj.

Katanya, mereka yang tertekan juga boleh mengalami demam psikogenik, di mana ia tidak dirawat dengan ubat rutin anti-demam tetapi sebaliknya dengan ubat-ubatan antikeresahan dan penenang serta psikoterapi.

Mohanraj menambah MMHA menyaksikan “peningkatan 2 kali ganda” permohonan kaunseling sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini, kebanyakannya mempunyai masalah berkaitan stres.

Dr Goh Chee Leong, bekas presiden Persatuan Psikologi Malaysia, berkata ini kerana banyak rakyat mengalami situasi tekanan yang tinggi berikutan sekatan pergerakan.

Beliau meramalkan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini akan memberi impak yang lebih besar terhadap kesejahteraan mental orang, dan seterusnya kesihatan fizikal mereka.

Dr Goh Chee Leong.

“Ketidaktentuan mengenai keselamatan kewangan mereka, pelajaran mereka, dan interaksi yang terhad bersama rakan dan keluarga tentunya akan menambah tahap stres mereka,” katanya kepada FMT.

Sheila Menon, pengetua London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia, berkata ketika setiap orang mengalami stres pada suatu ketika dalam kehidupan mereka, mereka yang berusia 24 hingga 39 tahun lebih cenderung mengalami keadaan yang sama seperti stres.

“Ketika syarikat cuba kekal produktif, tekanan ke atas golongan ini akan meningkat kerana mereka selalunya menggalas tanggungjawab menjaga kestabilan kewangan anak-anak dan ibu bapa mereka.”

Sheila menyatakan pembantu rumah wanita, golongan yang sering tidak diperhatikan, cenderung untuk berhenti keluar haid selama 6 hingga 9 bulan ketika kali pertama datang ke Malaysia, kerana tekanan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu mempengaruhi hormon reproduktif.

Sheila Menon.

Katanya, tekanan jangka panjang seperti itu boleh membawa “kesan buruk” pada tubuh dan kesihatan.

Selain menyumbang kepada penyakit arteri koronari pra matang dan risiko serangan jantung yang lebih tinggi, beliau berkata, terdapat bukti stres boleh mempengaruhi cara orang menua, malah juga mempengaruhi DNA.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai jangan abai tanda-tanda awal stres dan meperuntukkan lebih banyak masa untuk menjaga kesihatan mental.

“Kita boleh lakukan ini dengan bersenam secara kerap, bina keseimbangan dalam hidup kita, pergi yoga, tai chi atau buat hipnosis diri.

“Sebenarnya, berehat hanya selama 2 minit, atau 10 minit hipnosis diri, atau hanya 20 minit kerap kali berjalan kaki boleh membantu menguruskan kesan stres jangka pendek dan mengurangkan semua gejala itu.”