Wad ICU Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi selepas jururawat positif

Operasi unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu masih berjalan seperti biasa, kata KP Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Operasi unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu masih berjalan seperti biasa selepas mengesahkan 2 jururawat di wad itu positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, jumlah pesakit di wad itu dikurangkan daripada 8 kepada 6 pesakit.

“Semua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata 2 jururawat itu dikesan positif selepas saringan pada 6 Okt. Seorang merupakan kontak kepada kes indeks.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua (ujian) RTK Antigen dan PCR (Polymerase Chain Reaction),” katanya.

Sementara itu, saringan dijalankan ke atas 92 petugas perubatan, melibatkan pegawai perubatan dan jururawat, pada 9 Okt.

“Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah,” katanya.

Hisham turut memaklumkan sejak permulaan Covid-19 sehingga 9 Sept, seramai 579 kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan dari pelbagai kategori skim perkhidmatan dijangkiti.

Daripada jumlah itu, 198 kakitangan di Sabah, di mana pada Oktober mencatat jumlah paling tinggi setakat ini iaitu 85 orang.

Katanya, majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di Sabah setakat ini berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

“Semua petugas kesihatan dan perubatan dinasihatkan untuk memakai Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian semasa menjalankan tugas dan mematuhi SOP sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan,”katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, jururawat dijangkiti Covid-19 menyebabkan ICU hospital di Kota Kinabalu lumpuh.

Portal itu melaporkan petugas barisan hadapan di wad ICU di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu bertungkus-lumus menangani kes Covid-19 selepas lebih daripada separuh rakan sekerja mereka terpaksa dikuarantin.