1 Utama laksana pemeriksaan percuma untuk kakitangan, kontak rapat

Barisan panjang mereka yang beratur untuk ujian Covid-19 di 1 Utama.

PETALING JAYA: Kompleks beli belah 1 Utama mengadakan pemeriksaan Covid-19 percuma bermula hari ini hingga esok bagi semua kakitangan dan individu yang dikenalpasti kontak rapat dengan pesakit.

1 Utama dalam kenyataan di Facebook berkata, pihak pengurusan menghantar pasukan pada 10 Oktober lalu untuk mendaftar penyewa di pusat membeli-belah itu.

Pihak pengurusan pada masa sama turut menggesa hanya kontak rapat sahaja menjalani pemeriksaan percuma itu, di kompleks berkenaan, yang diatur Pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya pada 14 dan 15 Okt.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan juga dalam proses mengesan kontak dan bekerjasama dengan MySejahtera untuk menghubungi mereka yang mempunyai kontak dengan kes disahkan positif.

“Sila ambil maklum, proses pengesanan ini masih dilakukan pihak KKM. Untuk mereka yang tidak menerima panggilan atau SMS tetapi rasa bimbang, nasihat KKM ialah mereka membuat ujian di makmal swasta.

“Bukan mudah bagi kami untuk tutup pusat beli-belah dalam 1 malam dan mengerahkan ribuan kakitangan lakukan ujian dalam cuaca buruk pagi ini, tetapi kami bertahan sehabis daya kami untuk menjalankannya dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan turut menasihati masyarakat menghubungi KKM di talian 03-78030106 untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kompleks beli belah itu akan dituup selama 7 hari bagi tujuan saringan dan nyahkuman.

Dilaporkan sebelum ini, 2 kes Covid-19 dikesan di kompleks berkenaan, melibatkan kakitangan.

Jumlah individu yang disahkan positif terus meningkat kepada 10, bahkan Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham turut menggelarnya Kluster Utama.

Setakat semalam, 114 idnividu sudah diperiksa, dengan 15 disahkan negatif dan 89 lagi menunggu hasil ujian.