Ambil iktibar Covid-19 di Sabah, kata doktor ketika Sarawak pertimbang PRN

Sabah mencatatkan peningkatan kes Covid-19 selepas pilihan raya negeri (PRN) diadakan baru-baru ini.

KUCHING: Seorang pakar perubatan menggesa pihak berkuasa dan ahli politik Sarawak mengambil pengajaran dari peningkatan kes Covid-19 selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah, ketika berikutan mereka mempertimbangkan PRN Sarawak.

Dr Kuljit Singh, seorang pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), berkata keutamaan sekarang adalah melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

PRN Sabah disalahkan atas peningkatan kes baru-baru ini dan Kuljit berkata amat penting Sarawak mengambil iktibar dari apa yang berlaku kepada negeri pertama yang mengadakan pilihan raya ketika pandemik.

Penggal Dewan Undangan Negeri akan berakhir pada Jun tahun depan, di mana pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

Jelasnya, Sarawak perlu menjadi “negeri zon hijau” Covid-19, di mana tiada kes baru dilaporkan selama 2 minggu.

“Pematuhan kepada SOP, saringan ketat untuk semua kedatangan ke negeri itu, dan keperluan kuarantin pasca pilihan raya juga penting. Melalui gambar pilihan raya di Sabah, kita boleh nampak orang ramai, termasuk pemimpin, gagal patuhi SOP, seperti menjaga jarak fizikal dan mengelakkan berkumpul.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Subramaniam Muniandy meminta tempoh berkempen lebih pendek dan meningkatkan jumlah pusat undi untuk mengawal orang ramai dengan lebih baik.

Katanya, usaha pengawasan Covid-19 perlu dipertingkatkan menjelang pilihan raya.

Subramaniam berkata perlu mengurangkan dahulu jumlah keseluruhan kes Covid-19 di seluruh negara sebelum mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya negeri yang lain.

“Dari sudut pandang perubatan, pilihan raya boleh menggandakan atau malah menambahkan risiko jangkitan Covid-19 kerana akan ada pertambahan pergerakan orang dan kumpulan di seluruh negeri dan acara melibatkan kumpulan yang besar,” katanya, sambil menambah sekarang bukan masa yang tepat untuk mengadakan pilihan raya.

Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum ini berkata pilihan raya negeri boleh diadakan “bila-bila masa sahaja dari sekarang” kerana mandat Gabungan Parti Sarawak akan berakhir pada Jun.

Beberapa parti pembangkang, termasuk DAP dan PKR, membantah kerana situasi Covid-19, tetapi seorang peguam yang berpihak kepada kerajaan negeri berkata perkara itu tidak dapat dielakkan.

Tidak mahu dinamakan, peguam itu berkata satu-satunya cara pilihan raya boleh ditangguhkan adalah perlembagaan Sarawak dipinda atau sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Sarawak, Ann Teo, memberitahu FMT ia suatu keputusan semborono sekiranya pilihan raya diadakan sekarang susulan peningkatan kes Covid-19.

Tambah beliau, kebimbangan terhadap penyebaran virus akan memberi kesan kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi di Sarawak, sama seperti yang berlaku di Sabah.

“Selain itu, turut dibimbangi lebih 200,000 pengundi Sarawak yang tinggal di luar negeri tak akan pulang untuk membuang undi mereka berikutan isu kuarantin dan kos perbelanjaan.

“Jadi, kerajaan negeri perlu pertimbangkan semua faktor itu sebelum mengadakan pilihan raya.”