ATM kerah 1,140 anggota bantu redakan gelombang ke-3 Covid-19

Melalui ‘Op Penawar,’ anggota tentera diatur gerak bagi menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

KUALA LUMPUR: Seramai 1,140 anggota tentera dikerah membantu negara dan pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia memutuskan rantaian penularan gelombang ke-3 pandemik Covid-19.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan semalam menyebut anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbabit penugasan sekatan jalan raya serta rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Panglima ATM Affendi Buang menggagaskan ATM sentiasa komited dan bersiap siaga membantu agensi lain berkaitan bagi menangani pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ke-3,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut melalui ‘Op Penawar,’ anggota tentera diatur gerak bagi menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Anggota tentera akan meningkatkan aspek kawalan seperti pemasangan wayar concertina di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi sepertimana yang dilaksanakan di Kunak dan Semporna, Sabah.

“Ini termasuk pelaksanaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan dalam membantu pihak polis memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Markas ATM berkata atur gerak anggota akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan PKPD dan PKPDB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu serta PKPB Mukim Klang.

“Sebagai contoh, sehingga semalam TDM telah menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan zon merah di mukim Klang,” katanya.

Dalam pada itu, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama agensi keselamatan lain seperti ATM, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam menerusi Op Benteng akan terus mempertingkat kawalan sempadan maritim dan darat.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa kawasan Pantai Timur Sabah akan diberikan fokus untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dari negara jiran.

“Ini juga termasuk memperkasakan kerjasama kawalan persempadanan di bawah tanggungjawab Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom),” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, ATM melalui Kor Kesihatan Diraja komited bekerjasama dengan pihak KKM dan beroperasi secara bersepadu menyediakan penasihat teknikal di Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Ia juga membabitkan pegawai perubatan, pergigian serta paramedik tentera yang menyediakan perkhidmatan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“…. perkhidmatan nyah kuman, pos rawatan dan atur gerak aset perubatan di Hospital Medan bagi membantu operasi Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak Covid-19 ini,” katanya.

Pada masa sama, TUDM turut melaksanakan penerbangan khas untuk membawa peralatan perubatan, pakaian perlindungan diri (PPE) dan sampel RT menggunakan pesawat jenis A400M yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

Kenyataan itu juga menjelaskan TUDM sudah melaksanakan misi penerbangan bagi membawa barangan serta kelengkapan perubatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau.

“Penerbangan ini adalah kerjasama antara kementerian terbabit dan ATM bagi menyalurkan bantuan serta barangan perubatan dalam misi mengekang wabak itu,” menurut kenyataan itu.