Ketika lebih 700,000 hilang kerja, jangan dilihat selamatkan syarikat swasta, kata Fahmi

Fahmi Fadzil.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR hari ini menggesa Putrajaya jangan terburu-buru berkenaan cadangan penggabungan UEM Sunrise Berhad dan Eco World Development Group Bhd, yang akan dilihat sebagai suatu “bailout”, ketika 745,000 rakyat kehilangan kerja setakat Julai lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata demikian ketika mengulas cadangan penggabungan UEM Sunrise, anak syarikat UEM Group Berhad milik Khazanah Nasional Berhad, dengan syarikat hartanah swasta, Eco World, yang mengundang bantahan dan persoalan daripada parti pemerintah dan pembangkang.

“Tindakan meneruskan penggabungan 2 syarikat ini memberi gambaran yang buruk di mana ia akan dilihat sebagai usaha menyelamatkan (bailout) sebuah syarikat swasta menggunakan harta rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi mendakwa setakat hari ini, nilai saham Eco World turun ke RM0.39 berbanding RM1.40 pada 5 tahun lalu, serta keadaan hutang dan aliran tunai syarikat itu “juga amat membimbangkan”.

“Jika diteruskan, tidak mustahil Khazanah dilihat sebagai ‘penyelamat’ Eco World apabila terpaksa memberi suntikan dana yang besar, lebih-lebih lagi apabila kita diingatkan bahawa pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang sudah pasti lemah,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berkata ia percaya penggabungan itu tidak seharusnya berlaku dan harus dijelankan kenapa UEM Group memilih Eco World.

Senator Raja Kamarul Bahrin dari Amanah pula berkata banyak pihak menganggap penggabungan akan merugikan UEM Sunrise dan Khazanah, dan lebih menguntungkan Eco World.

UEM Group berkata cadangan penggabungan dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara.