KKM tingkat kapasiti perkhidmatan pelbagai peringkat di Sabah

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini memaklumkan kementeriannya meningkatkan kapasiti perkhidmatan di pelbagai peringkat di Sabah, dalam usaha menghadapi peningkatan kes dan pengendalian kes Covid-19 pada tahap optimum.

KKM juga menambah sebuah lagi hospital bagi tujuan merawat pesakit Covid-19, iaitu Hospital Kota Marudu, hospital ke-7 untuk merawat kes Covid-19.

Turut disediakan 6 buah pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC).

“Sehingga 11 Oktober, 8.00 pagi, terdapat 4,834 katil disediakan untuk merawat pesakit Covid-19 iaitu di 7 buah hospital Covid-19 dan 16 buah PKRC.

“Dari jumlah tersebut, kadar penggunaan katil di 7 buah hospital dengan kapasiti 958 katil sebanyak 66%, manakala bagi katil di PKRC sebanyak 22% daripada jumlah 3876 katil.

“Secara keseluruhan 30% katil sudah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19. Kes-kes yang tidak bergejala atau gejala ringan akan ditempatkan di PKRC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM juga akan menjalankan penyumberluaran perkhidmatan kepada hospital swasta di Sabah, dalam usaha meningkatkan bilangan katil rawatan Covid-19.

“KKM akan juga melaksanakan penyumbeluaran ke beberapa hospital swasta di Sabah seperti Gleneagles Hospital Kota Kinabalu, KPJ Sabah Specialist Hospital, Jesselton Medical Centre dan sebagainya.

“Bahkan, bagi meningkatkan kapasiti rawatan pesakit di Hospital Tawau, kerajaan dengan kerjasama KKM dan tentera sedang berusaha menyediakan hospital medan berkapasiti 100 katil dengan bantuan pegawai dan anggota perubatan tentera,” katanya.

Bagi memenuhi tenaga kerja manusia, mobilisasi anggota kesihatan dari seluruh negara sedang dilaksanakan dan sehingga hari ini, seramai 483 anggota kesihatan dari pelbagai kemahiran dan kepakaran sudah dimobilisasikan.

Ia seperti pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, juruteknologi makmal perubatan, juru x-ray, pegawai sains mikrobiologi, penolong pegawai kesihatan persekitaran dan pembantu kesihatan awam untuk membantu perkhidmatan hospital dan kesihatan awam di Sabah.

Bagi menangani peningkatan beban makmal di Sabah, beberapa makmal di Semenanjung turut mengendalikan ujian tersebut. Bahkan, sampel akan di hantar ke Semenanjung menerusi penerbangan ikhsan melalui kerjasama KKM dengan ATM.

“Peruntukan tambahan sudah disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah yang kini sedang melaksanakan perolehan bagi keperluan makmal, alat pelindungan diri (PPE) dan alat-alat perubatan yang lain.

“KKM juga sedang berusaha menyediakan sebuah makmal modular dan makmal molekular di Hospital Tawau bagi meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 di Sabah,” katanya.

Dari segi keperluan alat bantuan pernafasan, Sabah ketika ini mempunyai 180 unit ventilator dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 38% dan KKM kini dalam proses penghantaran 14 unit ventilator tambahan untuk Sabah.

“Bilangan ventilator sudah meningkat daripada 66 unit pada fasa awal kesiapsiagaan kepada 180 unit iaitu peningkatan sebanyak 63.0%,” katanya.