Pusat beli belah di Bangsar ditutup malam ini selepas pekerja kedai positif Covid-19

Bangsar Shopping Centre akan ditutup 1 malam bagi tujuan pembersihan secara intensif dan menyeluruh. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bangsar Shopping Centre (BSC) hari ini memaklumkan akan menutup sementara operasi perniagaannya selama 1 malam bermula 8 malam ini bagi tujuan pembersihan secara intensif dan menyeluruh di seluruh pusat itu, selepas seorang pekerja kedai disahkan positif Covid-19.

“Kakitangan berkenaan tetap menjalankan pekerjaannya pada 6 Oktober dan pada masa itu dia tidak menunjukkan sebarang simptom. Sejak itu, kakitangan berkenaan tidak lagi kelihatan di BSC,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BSC, selepas insiden itu berlaku, kedai terbabit segera menutup operasi dan semua kakitangan diminta menjalani pemeriksaan Covid-19.

“BSC akan terus mematuhi semua peraturan yang ditetapkan untuk mencegah Covid-19. Kami minta supaya anda terus bersabar, sementara kami mengambil langkah diperlukan.”

BSC akan beroperasi semula esok.