10 sekolah di Perak, Kedah ditutup 7 hari akibat Covid-19

Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman berkata, penutupan sekolah itu bagi membolehkan saringan dilakukan ke atas semua guru dan murid yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

IPOH: Enam sekolah di Perak dan 4 sekolah di Kedah diarahkan tutup selama 7 hari mulai hari ini kerana terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan guru serta pelajar sekolah terbabit.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan Taman Jana, SK Convent Kota serta SK Ulu Mengkuang yang terletak di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, penutupan itu sejajar arahan Majlis Keselamatan Negara.

“Ia bagi mengekang penularan wabak, lebih-lebih lagi sekolah terlibat terletak berhampiran sebuah pusat tahanan yang turut merekodkan jangkitan Covid-19.

“Apapun, kita minta ibu bapa dan penjaga tidak panik dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Setakat 12 tengah hari kelmarin, 14 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah LMS dengan 10 daripadanya di Taiping dan 4 lagi di Selama.

Di Kedah, 4 sekolah yang ditutup ialah SMK Baling dan SMK Bongor di Baling, SMK Bukit Payong serta SK Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman berkata, sekolah itu ditutup kerana guru dan murid disahkan positif Covid-19.

“Penutupan sekolah itu bagi membolehkan saringan dilakukan ke atas semua guru dan murid yang menjadi kontak rapat kepada mereka yang telah dijangkiti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, sekolah terlibat akan melalui proses sanitasi atau nyah kuman bagi membendung penularan virus itu.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup selama 7 hari tanpa menunggu analisis risiko Kementerian Kesihatan.