2,200 kakitangan Malindo akan diberhenti akibat Covid-19

Dilaporkan Malindo dijangka memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Susulan syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan pekerja akibat pandemik Covid-19, Malindo Airways Sdn Bhd tidak terkecuali dalam mengambil langkah itu.

Dilaporkan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrida dijangka memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.

Syarikat penerbangan itu juga kemungkinan mengurangkan jumlah pesawatnya kepada 5 pesawat Boeing 737 dan 6 turboprop ATR.

“Proses pemberhentian kerja kakitangan yang terlibat dijangka selesai pada 30 November depan manakala kakitangan yang tidak terjejas diperlukan melakukan tugasan yang pelbagai,” kata laporan tersebut.

Pada 9 Oktober lepas, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan pemberhentian sebanyak 10% daripada 24,000 kakitangan mereka untuk kelangsungan dalam industri penerbangan yang terjejas teruk kerana krisis Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Tony Fernandes berkata, langkah pemberhentian kerja itu harus dilakukan memandangkan realiti sektor penerbangan yang menghadapi kesukaran untuk pulih dalam masa terdekat.

Pada hari sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAS) Izham Ismail dilaporkan berkata, syarikat penerbangan premium itu akan memotong gaji pengurusan kanannya sebanyak 10% mulai bulan ini.