Covid-19: KKM mohon 1,899 petugas kesihatan kontrak tambahan

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, permohonan bagi petugas kesihatan kontrak tambahan dibuat pada 9 Oktober seperti yang diluluskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk melantik 1,899 petugas kesihatan tambahan secara kontrak bagi menghadapi penularan wabak Covid-19 kini.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi dan kewangan).

“Permohonan dikemukakan pada 9 Oktober lalu selaras dengan persetujuan kerajaan agar Kementerian Kesihatan dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada 2,000 lantikan secara kontrak seperti yang diluluskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adham berkata, petugas kesihatan akan ditempatkan di stesen kuarantin di seluruh negara dan ditugaskan di pintu masuk antarabangsa negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Katanya, ini bagi memastikan urusan keluar dan masuk di pintu masuk antarabangsa berjalan lebih lancar dan berkesan.

“Petugas kesihatan itu juga akan ditempatkan di fasiliti kesihatan seperti di hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC),” katanya.

Adham sebelum itu berkata, di peringkat Kementerian Kesihatan, antara langkah awal yang diambil adalah mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan fasiliti kesihatan tertentu bagi membantu negeri atau fasiliti kesihatan yang memerlukan tambahan sumber tenaga manusia.

Semalam, sebanyak 561 kes baru Covid-19 dilaporkan, dengan Sabah melaporkan angka tertinggi.

Sabah melaporkan 488 kes, diikuti Selangor 26 kes dan Kedah 16 kes.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 15,657 kes Covid-19 dengan 10,913 daripadanya sembuh.

Kementerian Kesihatan semalam turut melaporkan bahawa 3 kluster baru di kesan di Sabah, dan masing-masing 1 kluster di Selangor dan Labuan.