Covid-19: Machines di Mid Valley Megamall, gim di AEON Mall Bukit Tinggi ditutup

Seorang pekerja di Machines diuji positif Covid-19 dan tidak datang bekerja sejak 8 Okt. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Machines mengumumkan bahawa kedainya di Mid Valley Megamall akan ditutup sehingga notis lanjut berikutan seorang pekerjanya diuji positif Covid-19 hari ini.

Dalam kenyataan Machines berkata, pekerja berkenaan tidak datang bekerja sejak 8 Okt.

Pekerja itu memaklumkan tentang kes positif Covid-19 di blok rumah pangsa tempat beliau pada 10 Okt dan Machines segera mengaturkan ujian untuknya dan menjalankan kuarantin kendiri.

Kenyataan Machines muncul selepas Mid Valley Megamall semalam melaporkan 1 kes Covid-19 melibatkan seorang pekerja di London Sales Cosmetics Sdn Bhd, dengan 3 kedainya di Mid Valley dan Gardens Mall ditutup.

Selain itu, Fitness First Platinum di AEON Mall Bukit Tinggi, Klang, berkata ia akan ditutup sehingga notis lanjut susulan seorang pelanggannya diuji positif Covid-19.

Dalam kenyataan, AEON berkata, pelanggan berkenaan hadir di Fitness First pada 6 Okt dari pukul 3.13pm hingga 4.40pm.