Perjuangan barisan hadapan di Sabah capai tahap kritikal, kata Noor Hisham

Semalam Kementerian Kesihatan melaporkan 561 kes baru Covid-19 di negara ini dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 488 kes. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik Covid-19 di Sabah kini mencapai tahap kritikal.

Beliau berkata, beberapa strategi dan pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.

“Strategi kami berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti serta memutuskan rantaian jangkitan seterusnya dengan memperketat sempadan negeri dan daerah,” katanya di Twitter hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 561 kes baru di negara ini dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 488 kes.