Tabiat simpan barang jadi masalah hanya jika mengganggu, kata pakar

Rumah pesara guru di Perak yang menjadi tajuk berita susulan timbunan sampah sarap di sekitarnya. (Gambar Facebook Aki Amin).

GEORGE TOWN: Tabiat menyimpan atau mengumpul barang yang tidak diperlukan adalah sebagahagian daripada kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD) dan menjadi masalah hanya apabila ia mengganggu orang lain dan merosakkan diri sendiri, kata pakar kesihatan mental.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Dr Andrew Mohanraj berkata, tingkah laku sedemikian berada di atas kayu ukur antara baik dan buruk.

Beliau berkata, jika seseorang menyimpan barang seperti sampah sarap, maka penyakit mental major seperti skizofrenia mungkin berperanan dan perlu dirawat.

“Tabiat menyimpan atau mengumpul barang adalah subjektif dan bergantung pada personaliti dan didikan seseorang. Individu menyimpan barang seperti periuk belanga, bekas plastik dan barangan boleh kitar semula dengan harapan ia boleh dijual pada harga lebih tinggi.

“Seseorang yang melalui zaman kanak-kanak yang susah mungkin membentuk sikap tidak mahu membuang barang yang dianggap tidak berguna oleh orang lain semasa dewasa. Ia bukan masalah selagi tingkah laku itu tidak mengganggu orang lain,” katanya.

Tabiat menyimpan ditakrifkan sebagai “kesukaran melepaskan barang yang dimiliki” dan “pengumpulan terlalu banyak barang yang menyesak dan berselerak dalam kehidupan seseorang”, menurut buku panduan yang digunakan oleh pakar psikologi bertajuk “Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders”.

Geshira Ayu Mat Saad dari Universiti Sains Malaysia berkata, dalam menjalankan diagnosis ke atas individu yang disayaki menghidap masalah mengumpul barang, perlu ditentukan terlebih dahulu sama ada individu berkenaan sedar tabiat tersebut menjadikan kehidupan mereka lebih buruk atau minda mereka mengalami delusi.

Beliau berkata, tabiat mengumpul barang biasanya bermula apabila seseorang menghadapi perasaan bimbang yang berpunca daripada insiden trauma yang dialami pada masa silam.

“Tabiat ini mungkin berpunca daripada kehilangan barangan peribadi semasa bencana alam. Ada masanya ia berakar pada kepercayaan bahawa barang yang dikumpul mungkin berguna pada masa depan.”

Mengemas selerak tidak menyelesaikan masalah penyimpan barang

Pakar psikologi klinikal Dr Chua Sook Ning berkata, seseorang tidak me jadi penyimpan barang dalam sekelip mata, sebaliknya tabiat itu berkembang sedikit demi sedikit.

“Sesetengah individu yang menghadapi masalah ini selalunya menafikan keadaan itu. Mengemas barangan penyimpan yang berselerak atas nama intervensi juga tidak akan menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perbualan motivasi, terapi tingkah laku dan ubat-ubatan boleh membantu memulihkan kecelaruan mereka.

“Kesihatan mental adalah kontinum. Sesetengah orang mungkin mengumpul barang tanpa menghidap kecelaruan itu.

“Selain itu, menurut kajian terbaru, tidak wujud kaitan antara kemiskinan dengan tabiat penyimpan barang. Punca tabiat itu masih tidak diketahui.”

Seorang persara guru berusia 63 tahun dari Simpang Pulai, Perak, menjadi tajuk berita baru-baru ini selepas didapati beliau mengumpul barangan terbuang dan sampah sarap di laluan masuk ke rumahnya di Taman Bersatu.

Pensyarah USM Chooi Weng Tink berkata, proses pemulihan individu yang menghidap kecelaruan mengumpul barang akan mengambil masa dan langkah berdikit-dikit perlu dilakukan bagi memulakan proses itu.

Katanya, perlu juga didiagnosis faktor penyebab lain seperti kebimbangan, yang perlu dipulihkan sebelum merawat kecelaruan tersebut.

“Mungkinkah pengumpul barang berasa takut akan kehilangan sesuatu yang mereka perlukan pada masa depan? Atau mungkinkah individu ini pernah mengalami kemiskinan dan mereka menyimpan barang bagi mengelak keadaan serupa yang pernah ditempuhi sebelum ini?

Chooi berkata, membersihkan selerakan barangan itu secara paksa boleh menyebabkan tekanan lebih besar dan tidak akan mengatasi masalah itu dalam jangka panjang.

Katanya, pendekatan perubatan pelbagai dimensi diperlukan bagi merawat keadaan penghidap.

“Pendekatan pelbagai bidang diperlukan kerana kajian mendapati motivasi rendah merupakan penghalang utama proses rawatan kecelaruan itu. Lebih banyak kajian diperlukan berhubung keberkesanan kaedah rawatan semasa.

“Terapi tingkah laku kognitif dengan temu bual motivasi semasa lawatan ke rumah menunjukkan kesan positif dalam membantu individu yang berdepan kecelaruan tersebut. Pengurusan farmakologi boleh membantu masalah mental dan fizikal biasa yang berlaku serentak,” katanya.

Wanita dari Simpang Pulai itu didakwa di mahkamah oleh Majlis Bandaraya Ipoh kerana melanggar peraturan kesihatan awam.

Jirannya berkata, wanita berkenaan akan berbasikal di kawasan sekitar untuk mengutip sampah setiap hari.

Akhbar Sinah Harian melaporkan beliau berkahwin dan mempunyai 3 anak, tetapi kini tinggal berseorangan.

Dilaporkan wanita itu berkata, beliau mengutip plastik dan kotak untuk dijual di kedai kitar semula.