Kerajaan digesa bertindak atas penjualan cecair pensanitasi tak berdaftar dalam talian

Kumpulan pengguna berkata, sesetengah cecair pensanitasi yang dijual dalam talian tidak berdaftar dengan pihak berkuasa Malaysia.

PETALING JAYA: Kumpulan kesihatan dan penyokong pengguna menggesa pengawalan lebih ketat ke atas cecair pensanitasi tidak berdaftar yang boleh dibeli secara mudah dalam talian kerana tiada jaminan keberkesanan atau keselamatan produk sedemikian.

Cecair pensanitasi dianggap produk kosmetik, oleh itu ia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum boleh dijual.

Bagaimanapun, sejumlah produk tidak berdaftar dijual pada harga murah oleh peruncit dalam talian, yang sering dipaparkan bersama produk diluluskan daripada jenama terkenal.

Dr Subramaniam Muniandy, presiden Persatuan Perubatan Malaysia memberitahu FMT, ia “boleh menjadi satu cabaran untuk menentukan jika produk itu diperbuat daripada sumber dipercayai” apabila membeli dalam talian.

Dr Subramaniam Muniandy.

“Pengguna akan membahayakan kesihatan diri jika mereka membeli produk palsu atau tidak sepadan dengan apa yang diiklankan.”

Katanya, penting untuk pengguna memeriksa jika sesuatu produk itu berdaftar sebelum membuat pembelian dalam talian.

Paul Selvaraj, ketua pegawai eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, bersetuju dan berkata penjual dalam talian tidak boleh dilayan secara berbeza daripada peruncit tradisional.

Paul Selvaraj.

“Mereka jual segala-galanya dalam talian, mereka perlu terikat kepada undang-undang sama yang menghalang mereka menjual produk belum diluluskan. Perlu ada peraturan supaya hanya produk diluluskan boleh dijual.”

Sukhdave Singh, setiausaha agung Gerakan Pengguna Malaysia, berkata agensi kawal selia perlu terbabit “untuk memantau pasaran dan mengambil tindakan tegas terhadap peruncit yang menjual produk tidak berdaftar”.

Pengguna juga perlu berwaspada untuk mengelak daripada potensi “produk palsu yang bertujuan menipu pengguna” dan melaporkan penjualan produk tidak berdaftar.

Sukhdave Singh.

“Pengguna mungkin menganggap mereka mengamalkan kebersihan ketat dengan menggunakan produk sedemikian tanpa menyedari realiti ialah sebaliknya.”

Pengguna boleh melayari laman NPRA dan menyemak pangkalan data produk berdaftar jika tidak pasti dengan status pendaftaran sesuatu produk.