Lebih 120 ahli Parlimen sokong saya, Agong akan jumpa ketua parti, kata Anwar

Anwar Ibrahim meminta semua pihak memberi ruang kepada Agong untuk meneliti dokumen diserahkannya dan memanggil pemimpin parti politik bagi mengesah serta mendapatkan pandangan mereka.

KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong akan menemui pemimpin parti politik dalam beberapa hari ini selepas beliau menyerahkan dokumen untuk membuktikan sokongan ahli Parlimen kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Presiden PKR itu berkata, beliau menerima sokongan lebih 120 ahli Parlimen dan dokumen sahih yang diserahkannya itu terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti.

“Sepertimana yang saya janjikan, saya sudah tunaikan hari ini dengan mempersembahkan kepada Agong dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan ahli Parlimen yang menyokong saya.

“Saya pohon pihak-pihak memberikan ruang untuk Agong menjalankan tanggungjawab menelaah dokumen dan memanggil ketua parti, mengesahkan dan mendapatkan input sebaiknya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Anwar berkata, sekarang bukan masa untuk pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan berita palsu ketika negara menghadapi ancaman Covid-19.

“Saya pohon kita semua mainkan peranan hanya menyebar maklumat dan berita sahih. Marilah kita semua bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh membina semula negara tercinta ini.

“Saya pohon rakyat dan semua ahil politik tanpa mengira parti dan fahaman supaya bersabar. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Agong membuat keputusan terbaik untuk masa depan negara.”

Terdahulu, Anwar menghadap Agong selama sejam bagi mempersembahkan sokongan ahli Parlimen kepadanya untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ia susulan sidang medianya pada 23 Sept lalu yang mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, beberapa parti dalam kerajaan Perikatan Nasional menafikan mereka menyokong Anwar, walaupun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu memberi sokongan kepada ahli Parlimen Port Dickson itu.