Persatuan perniagaan tarik nafas lega boleh beroperasi ketika PKPB

Kedai akan beroperasi seperti biasa di bawah SOP lebih ketat sepanjang tempoh PKPB di Lembah Klang.

PETALING JAYA: Persatuan perniagaan menarik nafas lega kerana dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mulai esok.

“Ini tentu akan menjejaskan pendapatan, tetapi sekurang-kurangnya ekonomi masih berjalan,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Michael Kang kepada FMT.

“Kita tak mampu berdepan perintah kawalan sekali lagi…Ekonomi pasti akan bermasalah,” katanya merujuk perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara dari 18 Mac hingga 3 Mei lalu yang menyaksikan penutupan perniagaan tidak perlu dan sekatan perjalanan ketat dilaksanakan.

Michael Kang.

“Pelaksanaan PKP sekali lagi pasti akan menjejaskan perniagaan kerana kita lihat bagaimana mereka terjejas teruk sebelum ini,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Koay Chiew Guan kepada FMT.

“Lebih baik laksana PKPB sekali lagi. Saya rasa banyak syarikat akan gulung tikar, jika PKP dilaksanakan semula.”

Kerajaan menganggarkan PKP menyebabkan negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari dan pemotongan gaji serta pemberhentian pekerja secara meluas menyebabkan kadar pengangguran mencapai paras tertinggi 5.3% (826,100 orang) pada Mei lalu.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Okt ini, susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah Klang, Petaling, Gombak dan Hulu Langat.

Koay Chiew Guan.

Katanya, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa dan senarai penuh SOP akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mukim Klang dikenakan PKPB mulai 9 Okt lalu, dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Putrajaya membenarkan semua sektor ekonomi di Klang beroperasi seperti biasa kerana ia merupakan pusat perindustrian penting.

Katanya, Pelabuhan Klang memainkan peranan penting sebagai hab kontena di Malaysia yang menyumbang lebih RM400 bilion dalam aktiviti perdagangan sepanjang tahun lalu.

Shamsuddin Bardan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berharap PKPB di 3 negeri itu sama seperti di Klang.

“Ia adalah nadi ekonomi Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Sebelum gelombang jangkitan ke-3 yang dikatakan ini, kita menyaksikan data ekonomi menunjukkan negara menuju ke arah betul,” katanya merujuk kadar pengangguran negara menurun daripada 4.8% pada Jun kepada 4.7% pada Julai.
“Tetapi, kini dengan gelombang ke-3, perkembangan seperti ini terpaksa berhenti seketika.”