Henti beri alasan, kembalikan moratorium pinjaman, NUBE beritahu kerajaan

Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, moratorium menyeluruh selama 3 bulan tidak akan membebankan bank, yang memperoleh untung RM32 bilion selepas ditolak cukai keuntungan tahun lepas.

PETALING JAYA: Majoriti rakyat Malaysia akan berhadapan cabaran besar disebabkan kemerosotan ekonomi berikutan pandemik Covid-19 sekiranya kerajaan tidak mengembalikan moratorium menyeluruh ke atas bayaran balik pinjaman, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank Malaysia (NUBE).

Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, realiti ini seolah-olah tidak mendapat perhatian Kementerian Kewangan dan bank yang terus memberi alasan bahawa moratorium pinjaman bersasar sedia ada, dengan pelbagai syaratnya, adalah mencukupi.

Ia berkata, tidak ada keperluan untuk mengembalikan moratorium menyeluruh yang tamat pada hujung September lepas.

“Tanggapan ini adalah salah sama sekali. Puluhan ribu pekerja berpendapatan rendah yang terus berpaut mempertahankan pekerjaan mereka tidak mampu membayar hutang kerana pendapatan isi rumah mereka berkurang atas beberapa faktor.

“Malangnya mereka tidak layak mendapat moratorium bersasar dan mungkin gagal membayar hutang melainkan kerajaan bersedia membuat perubahan dan mendengar keluhan mereka,” kata beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah akan menambah kesusahan golongan berpendapatan rendah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Lembah Klang.

“Kerajaan mesti tidak boleh menunggu sehingga PKPB memberi kesan ke atas jutaan rakyat yang memerlukan bantuan segera,” katanya, dengan menambah bahawa kelewatan memberi bantuan akan “lebih memarakkan api kemarahan rakyat”.

“Lagipun, punca peningkatan kes dan tindakan mengenakan PKPB berkait rapat dengan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang tercetus kerana perebutan kuasa.”

Menurut Solomon, lanjutan moratorium secara menyeluruh selama 3 bulan tidak akan membebankan bank.

“Moratorium ini hanya akan menunda bayaran hutang bernilai RM6 bilion. Ia hanya sebahagian daripada keuntungan sebanyak RM32 bilion yang dijangka diperolehi bank pada 2019 selepas ditolak cukai keuntungan.

” RM6 bilion itu bukan kerugian yang ditanggung bank, tetapi hanya penangguhan dalam mengutip wang tersebut daripada pelanggan. Apabila ekonomi bertambah baik, moratorium menyeluruh tidak diperlukan lagi,” katanya.

Solomon menggesa kerajaan supaya mendapatkan maklum balas yang relevan daripada rakyat jika ia masih menganggap lanjutan moratorium tidak diperlukan.

“NUBE yakin wujud sokongan meluas bagi lanjutan itu kerana kemerosotan ekonomi susulan Covid-19 memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi kumpulan B40 dan M40 serta PKS,” katanya.

Solomon menggesa kerajaan dan bank supaya bertindak serta merta kerana ratusan kes positif Covid-19 yang dilaporkan setiap hari menunjukkan keadaan hanya akan menjadi bertambah buruk.