Hajiji, isteri pulih daripada jangkitan Covid-19

Hajiji (tengah) bersama isteri, Julia Salag (3 dari kiri) disahkan sembuh daripada jangkitan Covid-19 hari ini. (Gambar Jabatan Ketua Menteri)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dilaporkan pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang hari ini.

Turut dilaporkan sembuh dan dibenarkan pulang ialah isteri beliau, Julia Salag dengan kedua-dua mereka keluar wad Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) di sini, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Dalam kenyataan hari ini, Hajiji turut menyuarakan kebimbangan beliau berhubung peningkatan kes Covid-19 di Sabah, sekali gus memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak itu.

“Paling penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan”, katanya.

Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Christina Rundi, pengarah hospital QEH1, Dr William Gotulis, ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr Lee Heng Gee, serta doktor pakar dan para jururawat yang tmerawat beliau dan isteri.

“Saya menghargai dan berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesembuhan serta kesihatan saya, termasuk petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.