Goldman-DoJ capai persetujuan, akan bayar lebih AS$2 bilion
Perjanjian itu akan membolehkan bank pelaburan itu mengelak daripada pensabitan jenayah di Amerika Syarikat, kata sumber.
WASHINGTON: Goldman Sachs Group Inc mencapai suatu persetujuan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang akan menyaksikan bank itu membayar lebih AS$2 bilion kerana peranannya dalam skandal 1MDB.
Ia mungkin akan diumumkan dalam beberapa hari lagi, menurut beberapa orang yang tahu tentang perkara itu.
Persetujuan itu, yang merupakan sebahagian daripada tindakan antarabangsa, akan membolehkan syarikat induk mengelak daripada pensabitan jenayah di AS, menurut mereka, yang minta tidak dinamakan kerana membincangkan rundingan yang sulit.
Bayaran kepada DoJ itu secara amnya sejajar dengan rizab terdahulu bank itu dan anggaran penganalisis.
Persetujuan itu, yang dijangka berlaku beberapa minggu sebelum pemilihan presiden AS, akan menyahkan ketidakpastian bank itu selepas bertahun-tahun disiasat dan berunding dengan DoJ berkenaan peranannya dalam mengumpul dana untuk 1MDB.
Ia menyusuli persetujuan pada Julai untuk menyelesaikan siasatan berkaitan dengan Malaysia, yang menyaksikan bank itu berjanji untuk membayar AS$2.5 bilion. Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap syarikat yang berpangkalan di New York itu pada awal September.
Jurucakap Goldman Sachs enggan mengulas, dan wakil DoJ tidak menjawab pesanan meminta komen.
Secara keseluruhan, Goldman Sachs mungkin membayar kira-kira AS$5 bilion apabila persetujuan dengan Malaysia, DoJ, dan agensi lain dikira sekali.
Di Singapura, pihak berkuasa merancang untuk mengenakan penalti kewangan dan amaran bersyarat, dan sekiranya syarikat itu melanggarnya, Goldman Singapore boleh didakwa, menurut beberapa orang yang tahu tentang perkara itu.
Penguasa Kewangan Singapura, Jabatan Peguam Negara, dan polis belum menjawab email meminta komen.
Siasatan ke atas firma Wall Street itu berkenaan peranannya dalam mengumpul AS$6.5 bilion pada 2012 dan 2013 untuk 1MDB, yang kemudian sebahagiannya didakwa disalur keluar oleh beberapa pihak. Kumpulan perbankan pelaburan Goldman, yang ketika itu diketuai oleh ketua pegawai eksekutif sekarang ini, David Solomon, mengumpul AS$600 juta daripada jualan bon itu.
Pihak berkuasa di Asia, AS, dan Eropah bertahun-tahun mengikut jejak konspirasi, wang tunai dan aset di serata dunia, termasuk pangsapuri, barangan kemas, dan karya seni.
Goldman menyalahkan beberapa kakitangannya, mengatakan ia tidak tahu wang yang ia bantu kumpul itu akan disalur keluar daripada projek-projek pembangunan.
Seorang bekas rakan Goldman Sachs, Tim Leissner, mengaku bersalah di AS atas tuduhan konspirasi untuk mengubah wang dan menyalahi undang-undang rasuah negara asing.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Seorang lagi eksekutif dituduh atas kesalahan rasuah negara asing.