Pengguna media sosial bantah cadangan isytihar darurat
Pemimpin politik dan NGO turut menggunakan hashtag #protesdarurat untuk membantah cadangan pengisytiharan darurat.
PETALING JAYA: Media sosial hari ini dibanjiri hashtag #protesdarurat susulan spekulasi kerajaan mahu mengisytiharkan darurat dalam usaha mengekang Covid-19.
Pengguna Twitter memuat naik poster #protesdarurat yang ditampal di tempat awam, termasuk di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar Lembah Klang.
Beberapa pemimpin politik dan NGO tidak terkecuali membuat bantahan itu, antaranya Ketua Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menggesa rakyat terus duduk di rumah dan mematuhi SOP Kementerian Kesihatan.
“Semua rakyat Malaysia yang setuju atau tak setuju dengan cadangan darurat ini – sila terus duduk di rumah (kecuali ada keperluan penting) dan terus ikut semua SOP. Saya ulang: Duduk di rumah,” katanya.
Anak bekas perdana menteri, Marina Mahathir pula mempertikaikan pembabitan wanita dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Manakala bekas ketua penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husamuddin berkata: “Jangan panggil darurat, tetapi keluarkan yang tidak cekap.”
Bersih 2.0 pula menganggap pengisytiharan darurat untuk melawan Covud-19 tidak perlu, tidak dibenarkan dan tidak demokratik.
Tidak terkecuali bekas perdana menteri, Najib Razak yang menggesa pihak terbabit tidak menampal poster #protesdarurat di kemudahan awam.
“Korang nak bantah pun, jangan tampal atas papan tanda kemudahan awam. Bagaimana orang nak baca ‘signboard’? Tahulah ada yang marah. Itu hak kamu. Tapi sila cari tempat lain untuk tampal atau saluran lain untuk protes,” tulisnya di Facebook.
Spekulasi tersebar luas mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin mempertimbangkan pengisytiharan darurat atau darurat separa untuk menangani krisis Covid-19.
Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuantan untuk menyampaikan cadangan yang dicapai dalam mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Agong akan membincangkan cadangan Muhyiddin dengan raja-raja Melayu dalam masa terdekat.