
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang kemurungan, merempuh pejabat bekas majikannya dengan sebuah kereta sebelum terbunuh dilanggar lori ketika menyeberangi jalan.
Sejurus selepas tragedi itu, muncul video mangsa meluahkan penderitaannya sewaktu bekerja dengan sebuah syarikat teknologi AS di Perak.
Terdahulu, lelaki berkenaan dilaporkan melontar “molotov cocktail” ke dalam pejabat pengurusan syarikat itu selepas merempuh bangunan pejabat itu.
Beliau kemudian meninggalkan kenderaannya dan berjalan kaki meninggalkan premis itu. Sejam kemudian mangsa menemui ajal selepas dilanggar lori semasa melintas jalan.
Dalam video berkenaan, lelaki berumur 50-an itu berkata, prestasi kerjanya baik sejak menyertai syarikat berkenaan yang berpangkalan di Singapura.
Antara lain beliau memperoleh bonus dan kenaikan gaji tahunan serta insentif lain.
Dalam video itu, mangsa berkata, tahun ini bonusnya lewat dan beliau tidak mendapat kenaikan gaji atau insentif lain, sebaliknya dituduh mempunyai “isu prestasi.”
Namun, menurutnya, tidak ada sebarang bukti ditunjukkan kepadanya untuk menyokong dakwaan itu.
“Sekiranya saya mempunyai isu prestasi, anda harus menghubungi saya, memberitahu saya (untuk)…memperbaikikannya,” beliau berkata dalam video itu.
Mangsa mendakwa pernah meminta untuk bertemu pegawai atasan, tetapi tidak diendahkan.
“Kehidupan saya sengsara sekarang. Saya tidak dapat tidur pada waktu malam,” katanya dalam rakaman itu.
Lelaki itu berkata, beliau tidak pernah mengambil sebarang ubat selama 20 tahun lalu, tetapi terpaksa berbuat demikian baru-baru ini disebabkan tekanan di tempat kerja.
“Tahukah anda betapa tertekannya saya sekarang?”
Dalam video itu juga, beliau berulang kali mengucap terima kasih kepada beberapa rakan sekerja yang cuba membantunya mengatasi masalah itu.
“Mungkin esok saya tidak ada lagi. Siapa tahu?” katanya, hampir menangis.
Lelaki itu berkata, tekanan itu bukan disebabkan tugasan yang diberikan tetapi kerana “beberapa orang” yang bekerja dengannya.
“Lihat kes saya dan berlaku adillah kepada saya. Jika anda fikir saya melakukan salah, tunjukkan. Saya sangat tertekan,” kata beliau.
Katanya, beliau membuat 2 laporan polis berhubung keadaan yang dihadapi di tempat kerja dan dakwaan tentang amalan perkauman dalam syarikat itu.
“Terima kasih banyak-banyak, saya merindui kamu,” katanya di akhir rakaman video itu.
FMT menghubungi syarikat itu untuk mendapat respons dan tidak akan mendedahkan namanya semasa menunggu ulasan syarikat.