
KUALA LUMPUR: Bantuan bayaran balik pinjaman bersasar untuk peminjam institusi kewangan yang sedang dilaksanakan sekarang, dipertingkatkan dan tersedia untuk kategori B40, yang kedudukan kewangan mereka terjejas Covid-19, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM).
Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu berkata peminjam B40 terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan perusahaan mikro dengan pinjaman yang mana jumlah kemudahan asal berjumlah sehingga RM150,000.
Katanya, bawah bantuan pembayaran balik bersasar dipertingkatkan, peminjam yang layak mempunyai 2 pilihan – penangguhan pembayaran ansuran 3 bulan atau pengurangan pembayaran ansuran sebanyak 50% selama 6 bulan.
ABM berkata, hanya pinjaman yang diluluskan sebelum 1 Okt 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari dari tarikh permohonan peminjam, layak untuk bantuan itu.
Bagi suami isteri yang layak untuk BSH/BPR berdasarkan kepada pendapatan isi rumah, kedua-dua mereka layak untuk pakej ini sekiranya mereka mempunyai pinjaman bank.
“Bagi mereka yang memilih untuk keluar daripada moratorium yang diumumkan pada Mac 2020 juga layak untuk bantuan pembayaran semula bersasar ini,” katanya.
ABM berkata, penambahbaikan kepada bantuan pembayaran bersasar ini akan berkuat kuasa mulai 1 Dis 2020 hinga 30 Jun 2021, sambil menambah industri perbankan akan menyediakan maklumat terkini selanjutnya minggu depan.
“Peminjam boleh mengemukakan permintaan dan pengesahan bantuan pembayaran balik yang diperlukan kepada bank masing-masing menerusi saluran disedikan oleh bank, mulai 23 Nov 2020 hingga 30 Jun 2021,” katanya.