
PASIR MAS: Orang ramai di Rantau Panjang dan Pasir Mas diingatkan bahawa mereka yang didapati suka ria bermain air secara berkumpulan di tempat yang dilanda banjir sekitar sini, boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, surat pemakluman mengenai tindakan kompaun itu sudah dihantar kepada ketua Jajahan Pasir Mas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pelaksanaan.
“Pihak kami khuatir akan berlaku pesta bermain air yang sudah sinonim dalam kalangan masyarakat negeri itu apabila tiba musim tengkujuh sekiranya tiada tindakan tegas diambil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya setiap tahun apabila berlakunya banjir, pekan Rantau Panjang diibaratkan seperti “taman tema air” bagi penduduk di Kelantan, malah gerai jualan turut dibuka di sekitar kawasan berkenaan.
Mohamad Roy berkata, sekiranya ada peniaga yang membuka gerai di sekitar Rantau Panjang berhampiran kawasan yang digenangi air seperti tahun-tahun yang lepas, mereka turut akan dikenakan tindakan tegas, melainkan jika mendapat kelulusan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).
Katanya beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan dengan kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP), termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.