
Beliau yang juga timbalan presiden PPBM berkata, perkara itu perlu diputuskan secara konsensus bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara.
“Saya fikir keputusan bersama akan dibuat secara konsensus. Saya yakin dengan disiplin parti kami dan rakan bebas.
“Saya kira kami akan membuat keputusan dengan memikirkan juga kepentingan bersama rakan PN negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada sembilan sekolah persendirian Cina di pejabatnya di sini, hari ini.
Mengenai kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang menegaskan pendirian parti itu mahu kerajaan PN Perak dikekalkan dengan khidmat anggota Exco diteruskan, Ahmad Faizal berkata, ia pernah disebut sebelum ini, iaitu kehendak individu perlu diketepikan bagi membolehkan semua pihak bekerjasama dalam sebuah kerajaan yang stabil.
Dalam pada itu katanya, sebagaimana jawatan menteri besar, jawatan Exco kerajaan negeri juga masih berfungsi seperti biasa sehingga kerajaan baru dibentuk.
“Apabila Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) perkenankan mandat baru, tentunya saya akan letak jawatan dan lakukan transisi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang mungkin gembira dengan keadaan yang berlaku, tetapi kerajaan negeri tetap berfungsi.
“Pembangkang dapat apa yang mereka mahu, tetapi tak perlu sampai tahap nak hentikan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, akan ada beberapa sesi pertemuan bersama Sultan Perak sehingga proses pembentukan kerajaan baru selesai.
Beliau turut berharap akan dapat membentangkan belanjawan negeri Rabu ini.
Ahmad Faizal tewas dalam undian percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Beliau mendapat 10 undi menyokong dan 40 menolak. Satu undi rosak.
Usul undi percaya terhadap beliau dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru Abdul Manaf Hashim daripada Umno.