Istana Perak : Rundingan pelbagai pihak berjalan, belum ada sesiapa perolehi majoriti tubuh kerajaan

Istana Perak : Rundingan pelbagai pihak berjalan, belum ada sesiapa perolehi majoriti tubuh kerajaan

Hanya selepas ada pihak memperolehi majoriti, pengumuman pembentukan kerajaan baharu akan diumumkan

(Gambar Bernama)
IPOH:
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah masih belum diyakinkan oleh mana-mana parti politik sebagai mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini berkata, pihak Istana dimaklumkan oleh Umno negeri bahawa “perundingan sedang berlaku antara pelbagai pihak”.

Annuar berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diwakili PKR, Amanah dan DAP sudah menghadap baginda dan menyampaikan pandangan mereka mengenai situasi terkini.

“Selepas mereka (PH) selesai menghadap, baginda telah menitahkan Pengerusi UMNO Perak (Saarani Mohamad) pula datang menghadap. Beliau turut menyembahkan status perundingan yang sedang berlaku antara pelbagai pihak.

“Baginda masih belum diyakinkan oleh mana-mana pihak sudah ada majoriti mudah. (Apabila sudah ada) barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di luar Istana Kinta sebentar tadi.

Annuar berkata, untuk itu, Istana akan terus menunggu sehingga ada pihak boleh meyakinkan baginda sebagai sudah memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Sejak pagi tadi, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dan beberapa pemimpin kanan UMNO Perak menghadap baginda. Mereka termasuk Saarani Muhammad yang dikatakan calon UMNO untuk jawatan menteri besar baharu.

Zahid memberitahu pemberita bahawa calon UMNO mempunyai sokongan majoriti ADUN dan kerajaan Perikatan Nasional yang bakal ditubuhkan akan melibatkan parti itu, PAS, dan PPBM.

Bagaimanapun PAS mencetuskan spekulasi baharu tentang isu penubuhan kerajaan negeri ditunjangi UMNO apabila tiga ADUN parti itu diarah PAS Pusat untuk membatalkan menghadap Sultan Nazrin. Tidak ada sebab diberikan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini menegaskan parti itu tidak akan terlibat dalam penubuhan kerajaan baharu susulan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar setelah tewas dalam usul percaya di DUN Perak yang dibentang oleh Umno.

Faizal, yang juga timbalan presiden PPBM, ditolak oleh 24 daripada 25 ADUN Umno dalam undian itu.

Turut menghadap Sutan hari ini adalah bekas menteri besar, Zambry Abd Kadir.

Annuar berkata Saarani yang meminta Zambry untuk menghadap bersama beliau dan ia diperkenankan baginda.

Katanya, setakat 4.30 petang tadi, majlis menghadap sudah selesai dan tiada lagi pihak dijadualkan menghadap.

“Esok juga tiada ada, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mohon untuk menghadap esok,” katanya.

Annuar turut mengesahkan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, turut menghadap Sultan Perak. Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tujuan beliau menghadap baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.