
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara turut bersetuju menempatkan kira-kira 10,000 katil dalam tiga fasa berbanding 604 katil sebelum ini.
“Skop operasi kali ini akan melibatkan pesakit Covid-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan akan hanya menempatkan pesakit bukan warganegara saja.
“Fasa 1 (3,000 katil), fasa 2 (3,300 katil) dan fasa 3 (3,700 katil),” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, polis dan tentera akan meningkatkan aspek keselamatan di MAEPS yang akan menempatkan warga asing dalam kapasiti tinggi.
Sementara itu, Ismail berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pangsapuri Amber Court, Ria dan rumah kongsi Kampung Semaut di Bentong, Pahang mulai tengah malam ini hingga 23 Dis.
“PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini akan melibatkan 4,351 penduduk. Kementerian Kesihatan sudah menjalankan saringan bermula 6 Dis dan sehingga 8 Dis, 55 kes positif Covid-19 direkodkan di mukim Bentong, di mana majoritinya melibatkan pekerja asing.”
Katanya, PKPD di Taman Perumahan mukim Seluang di Kulim, Kedah dan Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah dilanjutkan 14 hari hingga 24 Dis ini.
Beliau berkata, saringan besar-besaran akan dilakukan di Central Spectrum (sektor A), Pulau Indah mulai esok.
“Dianggarkan saringan ini akan melibatkan 45 syarikat, 102 premis dengan 1,200 penghuni yang majoritinya bukan warganegara.
“Di lokaliti tersebut, sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil saringan di sektor A, kawasan saringan akan diperluaskan ke sektor B dan C.”
Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan bersetuju membenarkan lebih empat orang duduk semeja di kedai makan atau restoran berdasarkan kapasiti meja.