Rekod baru 2,234 kes Covid-19, 3 kematian

Rekod baru 2,234 kes Covid-19, 3 kematian

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,229 kes penularan tempatan dan bakinya kes import.

PETALING JAYA:
Sebanyak 2,234 kes baru Covid-19 dan tiga kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Rekod sebelum ini ialah 2,188 kes baru yang dicatatkan 24 Nov lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 1,112 pesakit pulih hari ini, menjadikan semuanya 66,236 kes sembuh daripada keseluruhan 78,499 kes Covid-19.

Beliau berkata, jumlah kes hari ini terdiri daripada 2,229 kes penularan tempatan dan baki lima kes import.

Katanya, Selangor masih merekodkan kes harian tertinggi di seluruh negara, iaitu 1,428 kes atau 63.9%, diikuti Sabah (274 kes), Kuala Lumpur (136 kes), Perak (115 kes) dan Johor (100 kes).

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,321 kes (di Selangor) daripada saringan kontak rapat dan kluster.

“Kebanyakan kes positif di Selangor hari ini melibatkan kluster berkaitan tempat kerja, terutamanya kluster Seruling (842 kes) dan Hentian (315 kes),” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, kes di Selangor dijangka kekal tinggi susulan perluasan program saringan pekerja asing oleh PERKESO dan tindakan proaktif majikan di Lembah Klang.

Katanya, pengesanan kontak rapat dan kes secara aktif giat dijalankan di lapangan, dengan semua kes positif diasingkan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang serta Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, Perlis dan Labuan tidak melaporkan sebarang pertambahan kes positif hari ini.

Katanya, seramai 11,867 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara, dengan 60 daripada 124 pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, jumlah kematian meningkat kepada 396 kes, selepas tiga warganegara meninggal dunia hari ini.

Dua daripada kematian itu berlaku di Sabah dan satu lagi di Labuan membabitkan pesakit berumur 26 hingga 72 tahun, di mana dua daripadanya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.