
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes terdiri daripada 1,799 kes penularan tempatan dan baki 11 kes import.
Selepas Selangor, Sabah melaporkan bilangan kes kedua tertinggi, iaitu 532 kes.
Sementara itu, enam kematian dilaporkan dan 937 mangsa sembuh.
Bagi kes di Selangor, sebanyak 82.6% kes, atau 685 kes, daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif yang giat dijalankan di lapangan.
Kuala Lumpur pula melaporkan 132 kes.
“Sebanyak 184 kes (10.2%) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Rumah Merah (150 kes), Kluster Tembok (18 kes), Kluster Bakti (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (3 kes),” katanya.
Negeri lain yang mencatatkan kes baharu penularan tempatan adalah Pahang 96 kes, Johor (69), Negeri Sembilan (64), Pulau Pinang (34), Kedah (22), Perak (12), Labuan (8), Melaka (5),Kelantan (2), Terengganu (2), Putrajaya (2), dan Sarawak (1).
Ketika ini, 12,734 pesakit masih dirawat, dengan 63 daripada 123 pesakit yang ditempatkan di ICU memerlukan bantuan pernafasan.