
Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB di dua mukim, iaitu daerah penggawa Kubang Kerian di Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah diteruskan hingga 20 Dis ini.
Katanya, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kg Dalam Huma, Bukit Awang di Pasir Puteh juga diteruskan hingga 20 Dis ini.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes positif Covid-19 di empat daerah ini menunjukkan trend penurunan mendadak dan terkawal, sementara kes aktif yang masih ada hanya tertumpu di beberapa mukim (daerah penggawa),” katanya dalam kenyataan.
PKPB di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas mula dilaksanakan 7 Dis lalu dan sepatutnya berakhir 20 Dis ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 260 individu ditahan atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan semalam.
Daripada jumlah itu, 245 orang dikompaun dan 15 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (102), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (27) dan lain-lain (12).”
Katanya,18 pendatang asing tanpa izin dan tiga tekong turut ditahan, manakala tiga kenderaan dirampas menerusi 122 sekatan jalan semalam.