
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, tiada ahli politik yang patut menafikan hak air kepada rakyat Malaysia dan mengganggu hal berkaitan alam semula jadi.
“Tiada pemimpin Malaysia berbuat demikian sehinggalah Sanusi mengugut untuk tidak memberi air kepada sesama rakyat Malaysia.
“Apakah tindakan Sanusi itu tidak menentang kehendak tuhan dengan campur tangan dalam apa yang ditentukan tuhan dalam hal semula jadi,” kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.
Terdahulu, Sanusi mendesak kerajaan persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan isu bayaran penggunaan sumber air mentah Sungai Muda yang dituntut Kedah daripada Pulau Pinang.
Sanusi berkata, tidak adil Kedah terpaksa berkorban bagi mengekalkan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumbernya tetapi tidak mendapat sebarang pampasan daripada Pulau Pinang yang memperolehi manfaat atas usaha itu.
Dalam pada itu, Lim berkata beberapa kenyataan Sanusi baru-baru ini membangkitkan kemarahan rakyat termasuk orang bukan Islam.
Beliau berkata, kenyataannya berhubung golongan minoriti terutama masyarakat India yang dikaitkan dengan perobohan sebuah kuil di Alor Setar yang boleh mencetuskan perpecahan.
Lim turut membuat perbandingan antara pemimpin PAS termasuk bekas menteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak yang dianggap mempunyai keupayaan memimpin.
“Azizan ada segalanya (nilai kepimpinan) yang Sanusia tiada, walaupun Sanusi pernah dilantik sebagai setiausaha politik Azizan selama lima tahun ketika menjadi menteri besar.
“Apa yang penting, Azizan seorang yang berkeupayaan tetapi Sanusi tidak,” katanya.
Lim berkata, Sanusi menghakis kepercayaan rakyat terhadap PAS yang mahu memaparkan diri sebagai parti yang berupaya menawarkan kepimpinan contoh.
Cabar sekat air
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, mencabar Sanusi menyekat bekalan air mentah dari Sungai Muda.
“Saya cabar MB Kedah sekat air ke Pulau Pinang. Ugutan untuk menyekat bekalan air ke Pulau Pinang adalah serius dan menghasut.
“Bayangkan jika Sanusi berjaya menyekat bekalan (air). Lebih sejuta orang tidak akan dapat air. Ini bukan gurauan tetapi perkara hidup dan mati,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, Sanusi menuntut kerajaan Pulau Pinang membayar RM50 juta kepada Kedah setiap tahun sebagai pampasan berhubung penggunaan air mentah dari sempadannya.
Lebih 80% bekalan air Pulau Pinang diambil dari Sungai Muda, tetapi ia dari sungai di sebelah negeri itu yang kemudian mengalir ke laut.