
Mahathir, yang juga bekas perdana menteri, dan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan, mengumumkan gandingan mereka pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di ibu negara petang tadi.
Dua ahli politik ini berseteru pada 1980-an ketika dalam UMNO, yang membawa kepada pengharaman parti Melayu itu dan penubuhan Semangat 46.
Mahathir percaya pengalaman mereka dalam Kabinet, terutama ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini, boleh dimanfaatkan untuk memajukan Malaysia.
“Seperti kita tahu negara mengalami banyak masalah..sistem kerajaan pun tidak berjalan baik. Kerajaan hanya ada dua kelebihan dua undi sahaja. Ahli politik hanya jaga (kepentingan) politik untuk menjaga kedudukan mereka.
“Kami berpendapat supaya dasar memajukan negara diperkenalkan bukan untuk diri sendiri dan parti. Kami bincang untuk kerjasama…saya ada sedikit pengalaman, begitu juga Tengku Razaleigh yang boleh disumbang supaya negara kembali maju,” katanya.
Sementara itu, Tengku Razaleigh menyifatkan pertemuan beliau dengan Mahathir hari ini sebagai langkah permulaan untuk memajukan semula negara yang terkesan dengan penularan Covid-19 dan ketiadaan pelabur.
Beliau mendakwa ketiadaan pelabur disebabkan ketidakstabilan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin selain ketiadaan dasar tegas untuk meyakinkan syarikat luar negara melabur di Malaysia.
Tegasnya, tawaran mereka sebagai orang lama untuk membantu negara bukan cakap kosong dan akan membantu rakyat kembali bangkit terutama golongan muda yang banyak kehilangan pekerjaan.
“Kita orang tua boleh bantu bimbing mereka untuk bina negara menjadi lebih baik.
“Kami berdua tak payah gaji pun tak mengapa sebab kami ada pencen…cukup dah, apa yang kami nak lihat adalah kemajuan rakyat dan negara.”
Dalam pada itu, dua pemimpin veteran itu menggesa semua Ahli Parlimen mengenepikan faham politik parti masing-masing ketika pengundian terakhir Belanjawan 2021, apabila Rang Undang-undang Perbekalan itu dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat minggu ini.
“Jika belanjawan berkenaan lulus, Muhyiddin akan terus menjadi kerajaan dan kita akan mempunyai kerajaan yang lemah dengan majoriti tipis. Jika mana-mana wakil rakyat mereka dimasukkan ke penjara, kerajaan dia akan jatuh,” katanya, sambil berseloroh akan kembali menjadi perdana menteri jika beliau mempunyai sokongan penuh Ahli Parlimen.