
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Aslam Zainuddin menolak jaminan untuk Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua atas alasan jaminan tidak patut dibenarkan dalam kes ekstradisi.
“Sekalipun jaminan dibenarkan, mereka perlu dikuarantin selepas meninggalkan penjara,” katanya.
Peguam mereka, Zamani Ibrahim berkata, anak guamnya mahu diikat jamin untuk menyelesaikan hal peribadi sebelum ke AS bagi menghadapi tuduhan.
DOJ memfailkan tuduhan terhadap Ling, Wong serta lima rakyat China yang didakwa menjalankan operasi penggodaman global sekurang-kurangnya enam tahun untuk mencuri identiti serta teknologi permainan video, meletakkan perisian tebusan dan intipan terhadap aktivis Hong Kong.
“Mereka hanya mahu pulang ke Sitiawan dan bersedia dikenakan syarat jaminan oleh mahkamah,” kata Zamani sambil menambah anak guamnya juga tidak mempertikaikan prosiding ekstradisi.
Katanya, Ling dan Wong direman lebih tiga bulan lalu susulan penahanan mereka pada September, tetapi Mahkamah Sesyen belum menetapkan tarikh untuk mendengar ekstradisi berkenaan.
Aslam berkata, beliau maklum mahkamah rendah akan mendengar prosiding ekstradisi terhadap Ling serta Wong pada Isnin (21 Dis).
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah, Jabatan Peguam Negara membantah sebarang permohonan jaminan dalam kes ekstradisi.
“Jabatan Peguam Negara tidak akan membenarkan atau bersetuju dengan permohonan jaminan. Tuduhan terhadap mereka di AS bukan kesalahan yang boleh diikat jamin,” katanya sambil menambah Ling dan Wong boleh memohon jaminan di mahkamah AS selepas didakwa.
Ling dan Wong ditahan Bukit Aman pada 14 Sept lalu selepas kerajaan AS memohon mereka diekstradisi. Jabatan Peguam Negara bersetuju memenuhi permohonan itu.