
Dr Subramaniam Muniandy, presiden Persatuan Perubatan Malaysia berkata, perlu ada penguatkuasaan peraturan lebih ketat terhadap penggunaan tidak betul, seperti meletakkan pelitup muka di bawah dagu atau membiarkan hidung terdedah.
“MMA mendapati masih ada disiplin lemah dalam penggunaan pelitup muka,” manakala penjarakan fizikal juga tidak dipantau secukupnya.

“Kita juga percaya angka terkini mereka yang melanggar peraturan tidak menghampiri jumlah sebenar. Sekiranya kesalahan ini dapat dilihat setiap hari, maka kita masih jauh ketinggalan dalam memastikan rakyat mematuhinya,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, pengerusi Malaysian Medics International, berkata pendidikan lebih baik mengenai rasional memakai pelitup muka lebih kritikal “supaya mereka boleh membuat keputusan berdasarkan fakta sama ada memakainya atau tidak”.

Beliau mengingatkan masyarakat terhadap kepuasan diri tidak wajar kerana “lebih baik berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan tambahan.”
“Rakyat perlu berhati-hati dan menganggap virus Covid-19 ada di mana-mana dan tidak mengambil risiko.
“Tidak ada petunjuk bila vaksin yang selamat dan berkesan boleh diperolehi Malaysia. Kita tidak seharusnya menaruh harapan pada vaksin yang akan sampai nanti.”
Sebuah kumpulan penyelidikan di Amerika Syarikat berkata, pemodelan pandemik Covid-19 meramalkan sehingga 5,000 jangkitan baru sehari pada Mac, jika kurang daripada 95% populasi menggunakan pelitup muka.