3 kluster baharu dikesan di KL, Sabah

3 kluster baharu dikesan di KL, Sabah

Kluster Jalan Rusa dikesan di Cheras semantara Kluster Tapak Bina Pasifik membabitkan Lembah Pantai di Kuala Lumpur; manakala Kluster Maringkan melibatkan Telupid dan Ranau di Sabah.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengenalpasti tiga kluster baharu COVID-19 membabitkan Kuala Lumpur dan Sabah.

Kluster berkenaan adalah Kluster Jalan Rusa yang dikesan di daerah Cheras dan Tapak Bina Pasifik di Lembah Pantai, Kuala Lumpur; dan Kluster Maringkan melibatkan daerah Telupid dan Ranau di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes bagi Kluster Jalan Rusa dilapor positif melalui saringan komuniti di kawasan kediaman bermula awal Disember.

“Saringan ini dijalankan selepas satu kes positif dikesan di kalangan penduduk pada penghujung Nov.

“Sehingga 17 Dis, sejumlah 1,267 individu disaring, yang mana 129 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Hisham berkata, kes indeks bagi Kluster Tapak Bina Pasifik pula dilapor positif pada 12 Dis melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

“Sehingga hari ini, seramai 159 individu disaring, yang mana 17 kes dikesan positif.”

Kluster terakhir, kes indeks bagi kluster ini dilapor positif pada 5 Dis melalui saringan individu bergejala dan merekodkan 11 kes positif.

Sehingga hari ini, terdapat 429 kluster dilaporkan termasuk tiga kluster baru hari ini.

Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 236 kluster termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini, iaitu Kluster Benteng PK, Kluster Kapas BJ, Kluster Garden, Kluster Bah Tropicana, Kluster Bah Bercham, dan Kluster Mentari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.