1,880 petugas kesihatan positif COVID-19

1,880 petugas kesihatan positif COVID-19

Majoriti punca jangkitan adalah antara petugas kesihatan 33% dan daripada komuniti 33%.

Kementerian Kesihatan sentiasa menekankan kepentingan mematuhi langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan semasa bertugas di fasiliti kesihatan.
PETALING JAYA:
Seramai 1,880 petugas kesihatan dikesan positif COVID-19 melalui saringan dan ujian pengesanan virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), majoriti punca jangkitan adalah antara petugas kesihatan 33% dan daripada komuniti 33%.

“KKM sentiasa menekankan kepentingan mematuhi langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan semasa bertugas di fasiliti kesihatan dan terutama sekali ketika berada dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Hisham berkata KKM mengambil maklum perkembangan terbaru di mana terdapat peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan
terutama dalam fasiliti kesihatan di zon merah dan kawasan berisiko tinggi.

Katanya, antara langkah pencegahan dan kawalan disarankan KKM seperti mengamalkan budaya norma baharu semasa bekerja.

Katanya, ini seperti amalan menjaga kebersihan tangan, sentiasa memakai pelitup muka semasa berada dalam fasiliti kesihatan, menjaga etika batuk, menjaga penjarakan fizikal terutama semasa berada di ruang guna sama seperti pantri, bilik rehat, bilik solat, kaunter, lif, bilik persalinan dan lain-lain.

Hisham juga menyarankan petugas kesihatan memakai pakaian pelindung diri (PPE) yang sesuai seperti disarankan KKM.

Beliau juga menyarankan untuk membuat “gate keeping” iaitu saringan suhu badan petugas dan deklarasi gejala di pintu masuk fasiliti dan
menjalankan pemantauan harian gejala semasa bertugas.

“KKM ingin menyeru kepada semua petugas barisan hadapan untuk mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan agar jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas dan fasiliti kesihatan dapat dihindari.

“Masyarakat juga diseru bekerjasama dengan pihak KKM dengan sentiasa memberikan maklumat yang benar kepada petugas kesihatan agar penilaian risiko yang tepat dapat dilaksanakan,” katanya.

Hisham turut menyenaraikan kategori petugas yang disaring seperti petugas bergejala dan petugas yang kembali dari bertugas sebagai pasukan mobilisasi di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.