Khairy pertahan kelewatan Malaysia terima vaksin dua bulan selepas Singapura

Khairy pertahan kelewatan Malaysia terima vaksin dua bulan selepas Singapura

Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin pertama pada Februari depan. Khairy berkata, kelewatan itu adalah disebabkan faktor kos.

PUTRAJAYA:
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin mempertahankan kelewatan Malaysia mendapatkan vaksin COVID-19 susulan Singapura menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin buatan Pfizer-BioNtTech pada Isnin lalu.

Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin pertama pada Februari depan. Khairy berkata, kelewatan itu adalah disebabkan faktor kos.

“Singapura menandatangani perjanjian pembekalan vaksin beberapa bulan sebelum Malaysia kerana kemampuan kewangan republik itu jauh lebih besar, berbanding Malaysia,” beliau memberitahu sidang media.

“Kami mengambil masa untuk mendapatkan terma perjanjian yang sebaik mungkin. Jikalau itu menyebabkan perbezaan masa dua bulan (bagi mendapatkan vaksin), saya rasa ia munasabah.”

Sebelum itu, Khairy berkata beliau sedia menghadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk memberikan butiran perjanjian pembekalan vaksin yang ditandatangani kerajaan.

Khairy berkata beliau tidak bermasalah memberikan penjelasan kepada PAC kerana mahu memastikan ketelusan ‘semungkin boleh” dalam pembelian vaksin itu.

Namun beliau berkata kerajaan terikat kepada perjanjian kerahsiaan (NDA) sebagaimana negara-negara lain,

“Ini syarat syarikat berkenaan, bukan kita, Saya terikat untuk menghormati NDA berkenaan…apa yang penting ialah mendapatkan vaksin untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.

Harga bagi setiap dos yang dijual kepada Malaysia sehingga kini masih tidak diketahui, kerana Pfizer melakukan perjanjian tanpa pendedahan.

Bagaimanapun menurut Khairy, kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan vaksin ini pada harga yang bersesuaian.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca, bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10% lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40%, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini dengan COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30% rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.