Rizal Mansor saksi boleh dipercayai walaupun tuduhan digugurkan, kata pendakwaan

Rizal Mansor saksi boleh dipercayai walaupun tuduhan digugurkan, kata pendakwaan

Keadaan berbeza jika dia dilepas tanpa dibebaskan mahkamah.

Pendakwaan berhujah perwatakan Rizal Mansor bukan alasan untuk menolak keterangannya.
KUALA LUMPUR:
Rizal Mansor, bekas pembantu Rosmah Mansor, yang memberi keterangan untuk pendakwaan dalam kes rasuah terhadap isteri bekas perdana menteri itu adalah saksi yang boleh dipercayai, kata pendakwa.

Katanya, keterangan beberapa saksi lain juga harus diterima bagi membuktikan pendakwaan berjaya menunjukkan kes prima facie terhadap Rosmah.

Pendakwaan, diketuai pendakwa ad-hoc Gopal Sri Ram berkata, Rizal sebenarnya saksi yang tiada apa-apa kepentingan kerana dibebaskan daripada semua tuduhan.

“Berbeza jika pendakwaan meminta supaya dia dilepas tanpa dibebaskan,” katanya dalam hujahan bertulis yang difailkan di Mahkamah Tinggi yang dilihat FMT.

(Melepaskan tanpa membebaskan seorang tertuduh bererti dia masih boleh didakwa atas tuduhan sama pada masa akan datang.)

Pendakwaan berkata, disebabkan itu, keterangan Rizal patut dianggap lebih baik daripada sekadar seorang rakan subahat.

Rizal pada 8 Jan lalu dibebaskan daripada empat tuduhan rasuah berhubung projek solar di Sarawak. Dia sebelum itu menghadapi tuduhan bersama Rosmah.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings ketika itu, Saidi Abang Shamsuddin, menerusi Rizal sebagai imbuhan untuk membantu syarikat berkenaan memperoleh projek solar bagi 369 sekolah di luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion, menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Rosmah turut didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta – iaitu RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, serta RM1.5 juta juga daripada Saidi di kediaman peribadinya di Langgak Duta di sini, pada 7 Sept 2017.

Pendakwaan berhujah, Rizal tidak mempunyai motif kuat untuk mengecilkan peranannya dalam transaksi jenayah berkenaan.

Jadi, walaupun perlu diimbangkan, keterangannya mempunyai elemen kebenaran kerana beliau tidak cuba mengurangkan peranannya dalam transaksi itu, katanya.

Pendakwaan berhujah Rizal jujur mengakui dia menerima wang daripada Saidi dan rakan kongsinya ketika itu, Rayyan Radzwill Abdullah.

“Mungkin dia berperwatakan buruk, namun itu saja bukannya alasan untuk menolak keterangannya,” kata pendakwaan.

Katanya, keterangan Rizal bahawa Rosmah menerima RM5 juta berkenaan turut disokong saksi lain.

Seorang juruwang Maybank, Azimah Aziz, mengesahkan Saidi mengeluarkan wang berkenaan dalam bentuk tunai pada 20 Dis 2016.

Pendakwaan berhujah, rakan Rizal, Ahmed Farriq Zainul Abidin, mengesahkan Rizal menghantar dua beg mengandungi wang tunai berkenaan ke Seri Perdana.

Rizal berkata, sebaik tiba di kediaman rasmi PM itu, dua butler datang mengambil beg berkenaan manakala beliau sendiri pergi menemui Rosmah.

Katanya, Rosmah tidak membuka beg itu, sebaliknya mengarahkan butler terbabit membawa ke biliknya.

Pendakwaan berkata, RM5 juta itu dibayar tidak lama selepas surat tawaran kepada Jepak Holdings dikeluarkan kementerian berkenaan, manakala RM1.5 juta dibayar selepas kementerian melepaskan beberapa siri bayaran, semuanya berjumlah kira-kira RM63 juta, kepada syarikat itu.

“Bayaran itu menyokong jumlah didakwa diminta. Tidak dapat disangkal Saidi tidak akan membuat bayaran melainkan ada permintaan rasuah,” hujahnya.

Tambahan, bukan amalan biasa untuk seorang kontraktor yang mahukan kontrak kerajaan membuat bayaran yang tidak diminta kepada isteri seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat.

Katanya, Rosmah juga jelas berbohong dalam kenyataannya kepada penyiasat apabila mendakwa tidak pernah mengenali Saidi dan Rayyan, kerana perkara itu disangkal dua lelaki terbabit serta Rizal.

Pendakwaan berkata, niat rasuah Rosmah itu dapat dilihat ketika menggesa ketua setiausaha kementerian berkenaan, Madinah Mohamed serta Alias Ahmad, untuk mempercepatkan kelulusan projek selain meminta sumbangan berdasarkan peratusan, bukannya jumlah tetap.

Katanya, keterangan Lawrence Tee Kien Moon, yang menyediakan perjanjian ‘perundingan’; menteri pendidikan ketika itu Mahadzir Khalid; pemandu Saidi, Shamsul Rizal Sharbini; serta Ahmed Farriq, Madinah, Alias, Saidi, dan Rayyan semuanya boleh dipercayai dan harus diterima.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 10 Feb untuk mendapat penjelasan pihak pembelaan dan pendakwaan, sebelum memutuskan sama ada Rosmah akan dilepaskan dan dibebaskan, atau diarahkan membela diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.