Undang-undang berkait kanak-kanak dalam tahanan tak dipatuhi, kata peguam
Di bawah Akta Kanak-kanak, polis mesti menyediakan seorang wanita di balai polis untuk memantau kebajikan gadis bawah umur yang ditahan di lokap.
PETALING JAYA: Akta Kanak-kanak mempunyai peruntukan untuk memisahkan kanak-kanak daripada orang dewasa ketika ditahan di lokap, tetapi polis tidak tegas dalam menguatkuasakannya, kata sebuah kumpulan hak asasi.
Peguam Srividya Ganapathy, pengerusi bersama Yayasan Inovasi dan Kebaikan Hak Kanak-kanak, berkata Seksyen 85 undang-undang tersebut menyatakan kanak-kanak itu, jika seorang perempuan, mesti berada di bawah jagaan seorang wanita ketika di bawah tahanan polis.
Ini bermaksud perlu ada polis wanita di balai untuk menjaga kebajikan gadis bawah umur yang ditahan.
“Sayangnya, polis tidak menguatkuasakan undang-undang yang diluluskan 20 tahun lalu sepenuhnya, ketika kanak-kanak berada di bawah jagaan mereka,” katanya.
Srividya berkata demikian susulan satu kes di mana seorang gadis berusia 16 tahun didakwa dirogol tahanan lain ketika ditahan di lokap balai polis Miri pada 9 Jan lalu.
Kes itu, yang diketengahkan senator DAP, Alan Ling, didakwa berlaku sehari selepas remaja itu ditahan dalam satu serbuan berkaitan perjudian.
Srividya berkata, keadaan tidak menjadi lebih baik ketika kanak-kanak dibawa ke mahkamah kerana identiti mereka didedahkan kepada media.
Peguam Baljit Sidhu berkata, undang-undang itu juga membenarkan pelantikan pelindung, termasuk pegawai kebajikan sosial, untuk meneliti nasib kanak-kanak yang ditahan untuk siasatan jenayah.
“Polis atau pelindung harus berkomunikasi antara satu sama lain untuk memastikan gadis ditempatkan di rumah kebajikan, apabila lokap tidak sesuai untuk penahanan.”
Baljit yang merupakan anggota jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, mendedahkan hanya beberapa lokap di balai polis seluruh negara diwartakan untuk menahan kanak-kanak.
“Di balai polis Jinjang, kanak-kanak dan orang dewasa ditempatkan di kemudahan sama, tetapi dalam lokap berbeza,” katanya sambil menambah anggota polis, terutama pegawai yang bertugas di balai, juga perlu peka.
Beliau berharap insiden di Miri itu membuka mata kerajaan untuk memastikan serangan seksual terhadap kanak-kanak tidak berulang dalam lokap polis.
Peguam M Viswanathan berkata, polis tidak perlu menahan gadis itu atas dakwaan kesalahan perjudian.
“Dia boleh sahaja dibebaskan dengan bon dan dihantar pulang atau ditempatkan di rumah kebajikan sementara menunggu siasatan selesai.”
Katanya, mereka yang bersubahat dalam jenayah itu juga perlu didakwa, dan keluarga gadis itu boleh menyaman polis atas kecuaian serta serangan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ketua Polis Daerah Miri, Hakemal Hawari berkata, seorang tahanan sudah didakwa atas tuduhan rogol di Mahkamah Sesyen.